Cerpen : Antara Dua Kasih
Malam yang hening bertemankan ketenangan ini sungguh
mendamaikan hati walaupun jiwanya bergelora diulit resah yang tidak bertepi.
Mujahid mula menadah tangan. Memohon dan mengharapkan belas ehsan daripada Yang
Maha Pencipta.
“Ya Allah, sesungguhnya aku minta petunjuk yang baik
dari-Mu, dengan ilmu-Mu, aku minta kekuatan dari-Mu dengan kekuatan-Mu. Aku
meminta dari-Mu dari kelebihan-Mu yang banyak, maka sesungguhnya Engkau
berkuasa, aku tidak berkuasa, Engkau mengetahui dan Engkaulah yang paling
mengetahui perkara-perkara ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa
perkara ini baik untukku pada agamaku, duniaku, dan kesudahan urusanku buat
masa kini dan masa akan datang maka tentukannya untukku dan permudahkannya
kepadaku, jika kamu mengetahui bahawa perkara ini tidak baik untukku pada agamaku
dan duniaku dan kesudahan urusanku buat masa kini dan masa akan datang maka
elakkannya dariku dan elakkan diriku daripadanya, tentukanlah kebaikan untukku
di mana sahaja aku berada. Sesungguhnya Engkau berkuasa di atas segala
sesuatu.”
Tapak tangannya mula meraup perlahan ruang wajah yang masih
basah dek sapaan wuduk sebentar tadi. Diaminkan doa itu beberapa kali. Bermohon
agar dipermudahkan segala yang sukar. Diringankan segala yang berat. Entah bila
semua ini akan menemui penghujungnya. Sedangkan keresahan ini kembali
bermaharajalela di pinggir hati. Entah kenapa, sukar benar untuk ditolak pergi.
Bukan sekali.. Bukan dua kali istikharah yang dia lakukan.
Malah sudah acap kali. Namun jawapan yang dibutuhkan masih belum menemui
penghujungnya. Semuanya kelihatan masih samar. Fikirannya nyata sudah bingung
menanggung beban.
‘Adakah hati ini sering alpa sehinggakan terlalu sukar untuk
meneka jawapan dariMu Ya Allah.. ataupun aku ini bukan hamba yang terpilih…
sehingga melarang aku untuk memilih antara dua kasih insan yang terlalu baik
itu? Antara Aisyah dan Khadija… Antara dua orang gadis.. Antara dua kasih…
Siapakah yang layak untuk menghiasi kamar hatiku? Menemani ruang hidupku?’
Persoalan itulah yang menganggu benaknya. Kenapa terlalu
sukar untuk memilih. Adakah kerana kedua orang gadis itu terlalu baik
pekertinya. Masing-masing hebat dalam erti kata yang berbeza.
Khadija…. gadis itu hebat berfalsafah. Senyuman manis tidak
pernah lekang dari bibirnya. Kesabarannya memang mengunung tinggi walaupun
sikapnya agak sedikit kasar. Dia senang memperlihatkan sikapnya yang sangat
berdikari.. Nyata dia memang bukan dalam kategori otak kosong walaupun tidak
memiliki kelulusan yang tinggi. Jika ditimbang tara sikap Khadija, gadis itu
terlalu sempurna untuk dijadikan seorang isteri.
Aisyah pula lain karenahnya. Dia adalah gadis bijak yang
sering mendapat perhatian mana-mana jejaka. Gelaran doktor yang baru
diperolehinya membuatkan dia kelihatan anggun dengan gaya tersendiri. Orangnya
lembut sahaja. Namun sikapnya yang agak manja dan sukakan perhatian itu
adakalanya merimaskan diri Mujahid sendiri. Tetapi tidaklah terlalu keterlaluan
ataupun manja secara berlebih-lebih. Namun adakalanya memang menyenangkan
hatinya.
Adakah kerana kedua-duanya adalah pilihan terbaik yang
membuatkan keputusan terlalu sukar untuk dicapai? Adakalanya kusut untuk
memikirkan kesudahan kisah ini. Namun cepat-cepat direnjis hatinya ini dengan
kesabaran.
Sesuatu yang baik itu memang menuntut kesabaran. Jadi
sebagai hamba, kita haruslah lebih berusaha. Kerana setiap kejayaan itu bukan
berada di penghujung rasa tawakal tetapi berada di hujung keringatnya. Untuk
mendapatkan yang terbaik, diri sendiri juga haruslah menjadi yang terbaik.
‘Wahai Khadija dan Aisyah… bersabarlah… kerana aku juga
sedang bersabar untuk menyambut jawapan dariNya.’
Mujahid pasti.. pasti akan ada yang kecewa di antara mereka.
Namun dia juga tidak betah untuk memilih. Kerana tidak pernah disangka yang dia
akan menjadi pilihan dua orang gadis hebat itu.
Perlahan-lahan dia mula mencapai Al-quran yang sudah
tersedia di meja sisi katil. Jiwa yang kering ini perlu dibasahkan dengan
bacaan ayat suci Al-quran. Biar kembali tenang.
***
“Oit… berangan ke?” Sergah Amirul yang tiba-tiba datang
menyapa. Khadija merengus geram. ‘Balik-balik mamat ni jugak yang datang
menyemak?’
“Yang pasti aku bukan berangan pasal kau!” Jawab Khadija
kasar. Kembali menyapu habuk-habuk yang berada di sekitar rak almari yang menempatkan
balang gula-gula itu. Inilah kerja hariannya sebagai pembantu kedai runcit.
Selepas tamat peperiksaan SPM dahulu, inilah kerjaya tetapnya.
‘Errk… ini pun dikira sebagai kerjaya ke? Hahaha.. hentam
jelah labu!’ Nak mengeluh pun tak boleh. Sijil SPM nya memanglah bagus. Cuma
keluarganya tidak mampu untuk menampung perbelanjaan pelajarannya nanti. Jadi,
terpaksalah meneruskan kerja di kedai runcit ini. Setelah lima tahun bekerja,
dia sememangnya sudah mendapat kepercayaan penuh daripada Abang Zaki. Pemilik
kedai runcit ini.
“Kau kalau dengan aku, memanjang je kasar!”
Amirul mencebik. Sudah acap kali dia terasa hati dengan
sikap Khadija yang seakan-akan bersikap tidak endah ketika melayannya.
“Kelembutan aku, bukan untuk kau!”
“Habis tu untuk siapa?” Tanya Amirul. Terlalu ingin tahu.
“Untuk suami akulah…..” Perkataan suami itu ditekankan
sedikit. Entah kenapa, wajah Mujahid mula menghiasi ruang wajah.
‘Aduh.. apasal mamat tu kacak sangat ya? Tergugat Iman
aku…hahaha.. apa ceritalah mamat tuh? Rindu betul aku pada dia…’
“Errk.. akulah suami kau tu kan…” Amirul sudah
tersengih-sengih seperti kera sumbing.
“Tolonglah….” Khadija terus buat muka loya.
“Tolong apa? Tolong terima nikah kau ke? Boleh… sekarang pun
boleh! Aku terimanya nikahnya Khadija binti Khairul dengan mas kahwin RM dua
puluh sen hutang….” Sakat Amirul selamba.
“Stop! Berhenti mengarut boleh tak? Kau ni memang tak
semenggah sungguh!” Khadija mula naik berang dengan sikap Amirul yang tidak
pernah tahu malu itu.
Amirul ketawa lepas. Entah kenapa, dia memang senang membuli
Khadija. Walaupun gadis itu nampak ganas, tapi lembutnya tetap ada. Walaupun
dia sering disindir oleh Khadija, namun dia tahu gadis itu baik hati.
“Alah kau nih… Jual mahal betul…!”
“Kalau aku jual murah pun, yang pasti harga mas kahwin aku
tak lah sampai dua puluh sen! Kau ni, agak-agaklah kalau kedekut pun!” Khadija
juga ketawa kecil apabila mengenangkan perangai Amirul ini. Mengada je dua
puluh empat jam!
“Okay… aku up sikit.. Dua ringgit setengah boleh?” Usik
Amirul lagi.
“Hah.. kalau dua ringgit setengah boleh.. boleh dalam
mimpi!” Bidas Khadija. Dia kalau dengan Amirul, semua benda pun hendak menang.
Mana boleh kalah dengan mamat nih.
Khadija kembali berjalan ke kaunter depan. Manakala Amirul
masih setia mengekori.
“Weh, kau tahu kan.. perempuan yang baik ialah perempuan
yang murah mas kahwinya… Hah, kau nak jadi perempuan baik kan? So, kau terima
jelah mas kahwin aku tuh! Lagipun aku ni pekerja kerajaan je… Kalau kau letak
mahal-mahal bangkrup lah aku.”
“Kalau aku kahwin dengan kau, dengan aku-aku muflis! Dah
lah.. pergi balik. Balik-balik kerja je terus nak mengacau aku! Aku banyak
kerja lagi nak buat nih!” Khadija mula buat-buat sibuk. Dia berpaling ke arah
rak belakang dan berpura-pura membelek stok bateri yang masih banyak itu.
Harapannya Cuma satu, supaya Amirul segera angkat kaki.
“Errk.. nak kacau boleh?” Ujar Amirul sambil mengetuk
sedikit meja kaunter.
Khadija terus mendengus geram.
“Eh, kan berapa kali aku warning.. aku banyak kerja!
Janganlah kacau aaa…..” Baru sahaja dia berpaling, dia dapat menangkap susuk
tubuh yang berbeza. Bukan Amirul tetapi…. erkk… Mujahid? ‘Bila masa mamat ni
terpacak kat sini? Adeii.. kan dia dah nampak perangai tak cukup sifat aku
tuh..’
“Oh… kalau tak boleh kacau, tak apalah.. Saya balik dulu.”
Mujahid sudah berkira-kira untuk angkat kaki. Sengaja mengusik Khadija.
“Eh.. janganlah balik lagi!” Halang Khadija dengan suara
yang agak kuat.
Apabila menyedari kegelojohan dirinya, terus sahaja tangan
kanannya mendarat di mulut yang tidak punya insurans itu. Aduh.. menggelabah
sungguh bila nampak mamat nih?
“Tak kacau ke? Bukan awak banyak kerja ke?” Senyuman manis
mula menyelaputi ruang wajah Mujahid.
“Petang-petang macam ni mana ramai orang sangat…” Nada suara
sudah mula diubah. Biar kedengaran lembut sedikit di pendengaran cuping telinga
Mujahid. ‘Alahai Dija… Kau memang hipokrit!’
“Oh… tadi tu siapa?” Tanya Mujahid sambil tersenyum lagi.
Nampaknya, Khadija memang diminati oleh pemuda itu. Tapi,
sesiapa yang melihat Khadija, pasti akan merasa senang hati kerana Khadija
mempunyai raut wajah yang mampu menghilangkan keresahan yang bertandang.
“Oh..itu mamat sengal! Dia memang suka datang menganggu….”
Jawab Khadija tanpa tapisan. Tangannya mula memperbetulkan bungkusan yang
sedikit berterabur di atas meja itu. Sambil-sambil itu, matanya mengerling
sedikit ke arah wajah Mujahid. Manalah tahu kalau-kalau ada riak cemburu ke?
Memang sah!! Sah tak ada…
‘Dia cemburu tuh.. tapi saja nak control macho!’ Sengaja
dilemparkan kenyataan itu. Statement nak menyedapkan hati sendiri.
“Yalah… orang cantik. Memanglah ramai peminat.”
“Erk.. peminat ya? Hmm… tak pernahlah pulak si Mirul tu
mintak signature?”
Muka Mujahid sedikit berkerut tika menyambut kata-kata
Khadija itu.
“Erk.. kenapa nak minta signature pulak?”
“Yalah… kata peminat. Mestilah nak minta autograf kan…. Saya
kan artis kat kampung nih…”
Mujahid ketawa kecil. Memang sah! Sah yang dia sudah berjaya
dipermainkan oleh Khadija.
“Nakal ya….”
Khadija ketawa sopan sambil senyum malu-malu.
“Bila balik nih… Tak beritahu pun?” Soal Khadija teruja.
Hatinya bergongcang hebat. Al maklumlah, si pemilik jiwanya sedang berada di
hadapannya. Bukan selalu berjumpa dengan Mujahid ini. Dia berkerja sebagai
enggineer di Kota Metropolitan. Sebulan sekali sahaja dapat berjumpa. Itu pun
mujur Mujahid balik untuk melawat keluarganya.
Kalau nak kira.. Mereka berdua ini jauh panggang dari api.
Seorang enggineer di di Kuala Lumpur, seorang lagi membina kerjaya sebagai
assistant kedai runcit sahaja! Tapi jodoh tak kenal pangkat. Tak pandang rupa.
Semua ini kerja Allah. Kerja manusia ialah berusaha sahaja.
“Saja nak buat suprise!” Ujar Mujahid dengan senyuman
meleret. Nyata, dia juga rindukan Khadija. Cuma dia tidak dapat mengenal pasti
bentuk kerinduan yang dia rasai. Adakah seperti seorang sahabat? Adakah seperti
kekasih..? Ataupun hanya untuk seorang abang kepada adiknya. Dia sendiri masih
keliru.
Walaupun Khadija tidak pernah berterus terang tentang
perasaannya, namun dia tahu yang gadis itu menyimpan perasaan terhadapnya. Ini
bukan statment perasan! Tapi ini adalah hakikat yang sayang disedarinya.
Jika Khadija tidak menyintainya, masa gadis itu tidak
jemu-jemu menghantar pesanan ringkas untuk mengucap selamat malam.
Mujahid masih ingat lagi. Sewaktu di awal perkenalan mereka,
mereka pernah berjanji. Walau sesibuk mana sekalipun, pastikan setiap hari ada
ucapan selamat pagi dan selamat malam.
“Tapi saya susah bangun pagilah Id…” Protes Khadija selamba.
Dia begitu tenang dalam melahirkan keperibadiannya. Langsung tidak terkesan
sebarang riak lakonan.
“Okay.. kalau macam tuh, awak wish selamat malam, saya wish
selamat pagi. Boleh?” Laju sahaja Mujahid memberikan cadangan.
“Okay.. deal!”
Namun adakalanya Mujahid sering ketinggalan dalam mengucap
selamat pagi buat gadis genit itu. Memang rasa bersalah mampir pada diri. Rasa
segan dan malu juga ikut turut menerpa. Kerana Khadija tidak pernah gagal
menghantar pesanan ringkas itu kepadanya. Dan tidak pernah sekalipun Khadija
merungut tentang kekhilafannya itu.
“Oit.. berangan ke? Ingat kekasih yang berada di KL ke?”
Sergah Khadija sambil melambaikan tangan dihadapan Mujahid.
Nampak sangat sedang berangan! ‘Hmm… ingatkan si dia lah
tuh!’ Hati Khadija mula diserang angin cemburu. Namun dia bukan sesiapa di hati
Mujahid. Apatah lagi dia bukan seorang yang layak untuk mencemburui gadis lain.
“Kenapa nak ingat pada orang jauh… Orang kat depan ni kan
ada!”
Tanpa sedar, ayat itu meluncur keluar dari mulut Mujahid.
“Hmm.. Jangan membeli jiwa andai tidak berniat untuk
membayarnya…” Tegur Khadija sambil mengelak dari memandang Mujahid.
‘Ya Allah… pertama kali aku diserang angin perasaan ini.
Memandangnya akan mendamaikan hatiku. Mengingatinya hanya akan menguntumkan
senyumku.. Ketenangannya… Kekacakkannya…. Kemanisan senyumannya… mampu
meluluhkan jiwaku. Namun andai dia bukan milikku, moga kau selitkan rasa redha
dalam jiwaku. Kerana aku sedar yang semua ketentuan adalah dengan izinMu Ya
Allah…’
“Maaf… saya…..”
“Tak apa…. saya tak kisah pun! Hmm… Aisyah apa khabar?”
Pintas Khadija cepat-cepat. Sesungguhnya, dia tidak berniat untuk membuat
Mujahid merasa serba salah. Jika boleh, dia ingin menjadi wanita yang
menyenangkan hati Mujahid. Biar Mujahid berasa selesa untuk berada di
sampingnya.
“Alhamdulilah.. dia sihat.”
Mujahid sendiri tidak dapat menebak perasaan Khadija
sekarang. Mungkinkah gadis itu cemburu? Marahkah dia pada Aisyah..? Namun
perilakunya tidak menunjukkan sedemikian rupa. Ataupun gadis itu ingin
menyembunyikan rasa gundah yang berkelubung.
‘Arrghhh… gadis ini terlalu baik dan kesabarannya nyata
mengunung! Akukah yang terlalu kejam kerana membolak-balikkan perasaannya!’ Ya…
Sekalipun Khadija tidak pernah bersikap memaksa ataupun mendesak. Bimbang juga
andai dirinya telah mengambil kesempatan di atas segala kebaikannya.
“Okaylah… saya beransur dahulu.. Sampaikan salam saya pada
pak cik ya!” Pesan Mujahid sebelum mengundur diri.
“Erkk Id…. Awak balik bila?”
Mujahid yang baru melangkah dua tapak itu mula berpaling.
“Hmm.. Mungkin saya balik lusa. Kenapa?”
“Oh… tak ada apa-apa.” Khadija mula mengelengkan kepalanya.
Walaupun mungkin Mujahid tidak akan berjumpa lagi dengannya, tapi dia tetap
gembira. Gembira kerana Mujahid berada dekat dengan dirinya. Walaupun mungkin
Mujahid jauh dari gapaiannya, namun dia tetap bahagia. Mungkin inilah yang
dinamakan cinta tanpa syarat. Kita akan tetap merasa bahagia walaupun melihat
dia sedang berbahagia bersama orang lain.
‘Aisyah… ya.. gadis itu mungkin adalah sainganku! Namun aku
tidak betah untuk membuatkan Id susah hati dengan karenahku. Andai benar Aisyah
mampu menjaga Mujahid dengan baik, siapa pula aku untuk melarang!’
Pelik kan…. tapi cinta itu memang aneh!
“Errk.. esok awak free tak?” Tanya Mujahid tiba-tiba.
“Hari sabtu memang saya cuti.. Kenapa?”
“Kita keluar nak?” Hati Khadija kembang seladang apabila
menyambut perlawaan Mujahid yang seperti bulan jatuh ke riba itu!
“Pergi mana?”
“Jalan-jalan… tolong jadi pemandu pelancong saya…”
“Boleh… dengan syarat awak jadi driver saya!”
Akhirnya mereka sama-sama menguntumkan senyuman. Entahlah,
rahsia hati ini memang tidak akan diketahui oleh sesiapa pun. Malah
kadang-kadang tuan punya badan sendiri masih kelu dan bisu dalam meneka rasa
hati. Dan sebagai manusia, kita juga haruslah cuba mencari gali segala maksud
tersirat. Mudah-mudahan Allah permudahkan semuanya.
***
Aisyah membelek fail milik pesakitnya. Entah kenapa hatinya
tidak keruan. Fikirannya dijengah kekalutan apabila mengenangkan kepulangan
Mujahid ke kampung halamannya.
‘Pasti dia akan menemui Khadija…. Pasti!’ Monolog hati
Aisyah sendiri.
Terlalu sukar untuk menempatkan diri di dalam jiwa Mujahid.
Terlalu sukar untuk memiliki hati Mujahid. Apatah lagi sekarang apabila dia
mengetahui yang dia mempunyai saingan.
‘Arrrgghhh… Mujahid sendiri masih sedang berteka-teki
sendiri! Tegar membiarkan aku terkapai-kapai tanpa sebarang jawapan. Kalau
sayang… ungkapkanlah rasa sayang itu! Kalau tidak, tidak perlulah dipanjangkan
lagi kisah ini. Tetapi mampukah aku menerima kenyataan jika Mujahid tidak
memilih aku?’
“Doktor… Doktor tak apa-apa ke?” Tanya Suhaila. Jururawat
yang bertugas bersama-sama dengannya ini.
“Saya okay… Cuma pening kepala sedikit.” Jawab Aisyah.
Sekadar berbasa-basi dengan Suhaila. Hakikatnya jiwa raganya memberontak! Kalau
ikutkan perasaan, mahu sahaja dia ke kampung Mujahid sekarang! Melihat keadaan
lelaki itu? Entah-entah, lelaki itu sedang ketawa riang bersama Khadija!
“Nak saya ambilkan ubat?” Pelawa Suhaila prihatin.
“Oh.. tak perlu. Awak boleh sambung kerja awak. Lagipun
sekarang waktu saya rehat! Saya nak tidur sekejap.” Ujar Aisyah sambil
tersenyum sedikit. Sedangkan rasa hatinya sudah membuak-buak. Mengeleggak
seperti di atas dapur.
Masih teringat perbualannya bersama Mujahid kelmarin.
“Esok saya nak balik kampung!” Suara Mujahid yang berada di
corong telefon itu kedengaran ceria sahaja. Sedangkan jiwa Aisyah disambar
bahang kepanasan apabila mendengar perkataan kampung.
“Buat apa balik kampung?” Soal Aisyah tidak berpuas hati.
“Lah… jenguk umi dan ayah lah…” Standard jawapan untuk
soalan tidak rasmi.
“Ke nak jumpa Khadija?” Protes Aisyah penuh rasa cemburu.
Walaupun dia tidak pernah bertentang mata dengan Khadija,
tidak pernah mengenali Khadija namun dia tahu yang gadis itu terlalu istimewa
di dalam hati Mujahid. Mulur Mujahid memang teramat ringan jika bercerita
perihal Khadija. Menceritakan kesabaran dan ketabahan gadis yang bernama
Khadija.
Cemburunya menggunung-ganang banyaknya. Tidak terhitung dan
tidak terkira. Gadis itu sentiasa mendapat tempat di hati Mujahid.
“Nak jumpa Khadija pun satu sebab jugak…” Seloroh Mujahid
sengaja. Tahu benar akan sikap cemburu Aisyah pada Khadija.
“Ialah… Khadija tu gadis teristimewa kan… Siapalah kita
kalau nak dibandingkan dengan dia..” Aisyah sudah mula mengeluarkan stok
ayat-ayat pasrahnya.
“Masing-masing istimewa dalam kelas yang tersendiri… Saya
tak pernah pilih kasih Aisyah…”
“Tapi awak kena ingat… Awak tak boleh tamak! Awak tak boleh
terima dua-dua kasih itu.. Tapi awak kena pilih antara dua kasih!” Tekan Aisyah
sedikit.
Kali ini Mujahid mengeluh sedikit. Inilah sikap Aisyah yang
adakalanya merimaskan dirinya. Cemburunya mengunung tinggi. Berbeza dengan
Khadija yang seakan-akan tidak berperasaan itu.
Memang Aisyah telah pun meluahkan perasaan sayangnya… Gadis
itu dengan beraninya berterus terang dengan dirinya. Satu sikap berani yang
sangat-sangat Mujahid puji! Sikap berani yang mungkin tidak ada dalam jiwa
Khadija.
“Aisyah… kan saya mintak masa….”
“Berapa lama lagi masa yang awak perlukan Mujahid? Sudah
lebih dua bulan… Tak kan awak masih belum berjumpa dengan jawapannya! Kalau
benar awak memang memilih Khadija, jadi jangan muncul di hadapan saya lagi.
Jangan buat saya macam ni.. Hati wanita ini tidak terlalu kuat untuk menangung
keperitannya….” Keluh Aisyah pula. Air matanya sudah mula mampir di juring
mata.
Rasa sebak mula menghuni rasa hati!
“Aisyah… kadang-kadang saya rasa yang awak terlalu
mencemburui Khadija.”
Adakah ini memang suratannya? Wanita yang bernama Aisyah
pasti akan mencemburui Khadija. Saidatina Aisyah tidak pernah mencemburui
isteri-isteri Rasulullah yang lain tetapi beliau sangat mencemburui Saidatina
Khadijah kerana baginda Rasulullah sering menyampaikan berita gembira kepada
Khadijah tentang mahligainya di Syurga yang bertahtakan permata. Malah setiap
kali jika melakukan penyembelihan, pasti Rasulullah akan membahagikan
sebahagian dagingnya kepada keluarga Khadijah.
“Memanglah… Macam tak ada perempuan lain!” Dengus Aisyah
sedikit marah.
“Awak tahu…. Dua ciri yang paling menonjol dalam diri
Saidatina Aisyah ialah sifat manja dan cemburunya yang tebal selain daripada
kepintarannya sebagai seorang pendidik, pengasuh umat Islam, periwayat hadis
dan Aisyah sememangnya srikandi Islam yang sangat pintar. Saya rasa kalian
berdua memang tidak jauh bezanya… Seorang wanita yang sangat pandai namun pada
masa yang sama wanita yang bernama Aisyah ini sangat mencemburui Khadijah. Tapi
awak kena ingat, cemburu Saidatina Aisyah itu kena dengan tempatnya… Kerana
wajarlah dia mencemburui seorang wanita yang mendapat tempat di hati pesuruh
Allah itu. Sedangkan Khadija yang berada di kampung itu tidak perlu
dicemburukan… Dia hanya gadis biasa yang langsung tidak mempunyai kelulusan
yang tinggi seperti awak. Malah saya juga bukanlah seperti Rasulullah yang
layak untuk didambakan wanita…”
Tenang sahaja ayat itu keluar dari mulut Mujahid.
“Maaf kalau sikap saya agak keterlaluan… Saya cuma terlalu
bimbang andai kata saya tidak mendapat tempat di hati awak.” Ujar Aisyah jujur.
“Manja dan cemburu itu perlu ada… Namun ia perlu
berpada-pada. Bimbang nanti rasa cemburu dan manja itu akan merajuk fikiran
untuk menanamkan rasa dengki sesama manusia.” Wah… Mujahid seolah-olah tidah
ubah seperti seorang Ustaz pula.
Seorang manusia itu memang diciptakan untuk menjadi Khalifah
di muka bumi ini. Dia tidak perlu menjadi seorang ustaz ataupun terpilih
menjadi Imam Muda. Cukuplah dia dapat memperbetulkan kesalahan yang kecil.
Kerana perkara yang dianggap remeh sebenarnya mampu mengugat perkara yang
besar. Menegur sesama manusia itu adalah salah satu cara untuk beringat. Kerana
alpa dan terleka, memang lumrah sikap manusia.
“Saya kagum dengan Khadija awak…. Mesti sikap kami terlalu
berbeza kan…?” Soal Aisyah perlahan.
“Masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri. Kerana
sesuatu itu memang telah diciptakan begitu. Ada lebihnya dan akan ada
kurangnya. Itulah bukti yang membuktikan manusia itu tidak sempurna. Saya
sendiri pun tidak sempurna Aisyah… Jika tidak, pasti saya dapat memilih… dengan
mudah.. siapa calon isteri saya!”
Seketika, mereka saling ditenggelami dengan kesunyian.
“Tapi saya pelik… Bagaimana awak begitu yakin yang dia
sukakan awak jika dia sendiri tidak pernah meluahkan perasaannya terhadap
awak?” Sedari dahulu lagi dia ingin bertanya soalan itu. Namun sentiasa beku di
ruangan otak.
“Jika dia tidak suka… jika dia tidak sayang… pasti dia sudah
lama berhenti mengucapkan selamat malam kepada saya. Pasti dia sudah berhenti
berharap apabila saya tidak lagi mengucapkan selamat pagi kepadanya. Ini
membuktikan yang dia menyayangi saya. Kadang-kadang, ucapan sayang itu tidak
perlu diungkapkan. Cukuplah sekadar menjadi fahaman kedua-duanya.”
Terdiam Aisyah dibuatnya. Sungguh, selama ini dia sering
menyangka yang dialah orang yang paling setia pada Mujahid. Orang yang paling
cintakan Mujahid. Tidak akan ada seseorang yang mampu menandinginya. Namun kini
ternyata dia silap. Silap menduga bahawasanya percaturan Allah itu lebih hebat.
Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. Begitulah
sebaliknya. Itu adalah janji Allah. Sesiapa pun tidak mampu untuk
menghalangnya.
‘Namun, adakah aku cukup sempurna untuk berdampingan dengan
Mujahid. Mengenangkan segala kelemahanku dalam meniti hidup ini, aku dapat
merasakan bahawa aku bukanlah seorang yang layak untuk menghuni hatinya.
Menjadi penyejuk hati sekaligus menjadi penawar kegelisahannya.’
“Apa-apa pun, saya tak akan beralah selagi belum mendapat
keputusan awak Mujahid….” Ujar Aisyah sendiri. Terlupa yang sudah terlalu jauh
dia mengelamun. Memikirkan untung nasib hidup bersama Mujahid nanti.
Ada jodoh tak kemana… Tak ada jodoh, nak buat macam mana..
***
Fail-fail yang berteraburan di atas meja kerjanya, mula
disusun di tepi meja. Jam di dinding sudah mencapai angka enam petang. Dia
sudah tidak betah lagi menghabiskan waktunya di pejabat ini. Dia ingin pulang
berehat di rumah. Kalau ikutkan, kerja di pejabat ini memang tidak pernah
habis. Ada sahaja yang perlu menuntut kudrat akal fikirannya. Namun itulah
tangungjawab yang harus dipikul oleh seorang pekerja.
Namun sebelum pulang, seperti biasa, tangan kanannya rajin
menarikan tetikus dan menekan keyboard komputer. Sudah biasa menjenguk blog
Khadija yang berkonsepkan Ilmiah itu. Mujahid suka kerana Khadija pandai
menyusun ayat untuk menjadi santapan rohani para pembaca.
Komen-komen yang diterima dari pembaca juga sangat
menggalakkan. Khadija tidak ubah seperti pakar motivasi sahaja.
Jangan mencari Allah kerana menginginkan jawapan….
Carilah Allah kerana kita tahu bahawa Dia lah jawapan yang
kita perlukan…
Tiba-tiba mata Mujahid terpaku pada sebaris ayat itu. Penuh
makna tersirat yang mampu menyelongkar isi yang tersurat. Perlahan-lahan dia
mula menyandarkan tubuhnya ke belakang kerusi.
Mujahid kembali mengemas kembali diri sendiri. Mengenal
pasti apa yang kurang dan perkara apa yang tidak kena dengan dirinya. Memang
benar kata-kata Khadija itu. Adakalanya manusia itu kembali kepada Dia hanya
semata-mata kerana mementingkan kepentingan diri sendiri. Mencari jawapan yang
dibutuhkan oleh hati.
Mungkin dirinya juga tergolong dalam manusia-manusia seperti
itu. Kononnya bermunajad kepada Allah dengan melakukan istiharah. Tetapi
hatinya lupa pada si Dia yang maha mengetahui. Mungkin kerana ini, hingga ke
saat ini, jawapan yang dibutuhkan masih belum ditemui.
Khadija…. gadis itu petah dalam melahirkan kata-kata. Sejak
dari bangku sekolah lagi, gadis itu sudah menjadi editor majalah sekolah. Dia
mempunyai minat yang sangat mendalam dalam bidang penulisan. Pernah jugak dia
mengusik Khadija. Mungkinkah Khadija bercita-cita untuk menjadi seorang penulis
Novel?
“Oh… tak pernah pulak bercita-cita nak jadi penulis novel..
Saya bukan golongan orang yang jiwang!” Tebak Khadija dengan senyuman
malu-malu. Dia tidak suka jika orang berfikir yang dia seorang yang jiwang dan
punya jiwa yang romantik. Dia lebih suka dikenali sebagai seorang gadis yang
selamba dan santai-santai sahaja.
“Kadang-kadang orang tu nampak je macam tak ada perasaan…
Tapi sebenarnya dalam hati ada sedulang bunga…” Usik Mujahid sengaja.
“Bukan sedulang lah… tapi seladang bunga!” Sempat lagi
Khadija menokok tambah ayat Mujahid.
“Amboihhh…”
“Saya memang minat menulis.. Tapi bukanlah difokuskan pada
cerita cinta.. Saya suka membina semangat. Mungkin boleh jadi pakar motivasi
kot…” Sambung Khadija serius. Dalam diam, dia menanam cita-cita yang tinggi
untuk mempunyai buku sendiri. Kalau bab berangan, memang sampai lupa memandang
tempat dia berdiri sekarang. Masa dia mampu untuk menjadi pakar motivasi hanya
berdasarkan kelulusan SPM.
‘Diri sendiri berjalan tempang… Ada hati nak pinjamkan
tongkat pada orang!’ Fikir Khadija lagi.
“InsyaAllah… berkat kesabaran, pengalaman dan ketabahan
awak.. Siapa tahu yang impian awak bakal tercapai.” Mujahid terus-terusan
menanamkan semangat buat Khadija. Dia tahu yang gadis itu sangat bercita-cita
tinggi.
“Itu angan-angan je… Saya tahu yang semua itu tak akan
berlaku. Kalau berlaku dalam mimpi pun dah cukup baik dah…”
Mujahid menggeleng perlahan menyambut tutur kata Khadija
itu.
“Ish… jangan suka hendak menjatuhkan semangat diri sendiri.
Macam mana nak jadi pakar motivasi ni?” Tegur Mujahid serius. Khadija tergelak.
Segan pula kerana ditegur sebegitu rupa.
“Memang hidup ini harus berfikiran positif… Tapi hidup ini
jugak harus berlandaskan kenyataan…”
“…. Tapi boleh tanamkan keyakinan pada Dia.. Kerana segala
sesuatu yang bermula dan berakhir, adalah datang dari kehendakNya..” Sambung
Mujahid lagi.
Kali ini Khadija tersenyum. Dalam dia sebenarnya terharu.
Terharu kerana Mujahid tidak pernah jemu dalam terus memberikannya semangat.
Ketika dia bersedih dahulu, Mujahid ada di sisinya. Walaupun lelaki itu tidak
selalu ada untuk setiap waktu, namun lelaki itu tetap memperuntukkan masa
ketika Khadija mula rasa longlai.
“Awak tahu… matahari yang besar dan bercahaya pun memerlukan
bulan untuk menerangi sudut bumi di kala malam… Seperti saya yang tetap
memerlukan nasihat dari pakar rundingan saya sendiri walaupun saya dah bergelar
pakar motivasi nanti…” Tanpa ragu, ayat itu mula dituturkan kepada Mujahid.
Mujahid agak tergamam. Mengerti dan memahami kata-kata
Khadija yang mendalam itu.
“Okay… tak ada masalah. Tapi hujung bulan, sila masukkan
elaun ya!”
Mujahid mula tersenyum apabila mengenangkan peristiwa
gurauan manis itu. Dia sangat taksub dengan kecekalan Khadija yang sentiasa
mendahulukan keluarga melebihi segala sesuatu perkara pun di dunia ini. Sanggup
mengetepikan rasa yang melonjak-lonjak untuk menyambung pelajaran. Hanya
semata-mata kerana sesuap nasi yang perlu dilunaskan kepada adik-adiknya.
‘Dija… mampukah aku untuk membahagiakan dirimu? Atau
kehadiranku nanti hanya akan mengganggu-gugat perjalanan kau nanti?’
***
Usai membuka kunci rumah, terus dihempaskan badannya ke atas
sofa. Rasa lenguh dan letih mula menjalar di seluruh badan. Inilah yang dia
rasa setiap kali balik dari bekerja. Seharian melayan pesakit di hospital
memang menguji tahap mental dan fizikalnya.
Badan yang melekit itu membuatkan Aisyah mula rasa tidak
selesa. Lantas dia bangun dari pembaringan. Dia masih belum menunaikan solat
insyak lagi. Dengan kaki yang berat, dia mula melangkah naik ke kamar peraduan.
Ingin mandi dan berehat sepuasnya. Baterinya perlu di charge untuk kegunaan
esok hari. Benar lah kata orang, kerjaya seorang doktor memang menuntut kudrat
yang luar biasa!
Adakalanya dia terfikir, bagaimanakah kehidupannya selepas
berkahwin nanti? Mampukah seseorang menerimanya sebagai isteri yang menyandang
jawatan sebagai seorang doktor? Dia pasti sibuk di hospital. Jika pulang ke
rumah, pastilah dia ingin berehat? Jadi, mampukah dia menunaikan tanggungjawab
sebagai seorang isteri dengan sempurna?
Masalah itu seperti itu terus berkampung di benaknya. Lantas
dia terus ke kamar mandi. Penat untuk memikirkan kesudahannya. Jika tidak
dikenangkan hasrat mamanya, dia sendiri tidak mahu memilih profesion kedoktoran
ini. Tidak dapat tidak, semua ini tetap harus ditelan juga.
‘Ramai rakan sejawat aku yang dah berkahwin.. Kalau dia
orang boleh, kenapa tidak aku…’
Ketika air pancut mula mencurah ke atas kepala, terasa
hilang semua rasa penatnya. Hilang dibawa arus. Matanya yang sedari tadi layu
dan kuyu mula segar. Rasa mengantuk yang tadi bermaharajalela, kini hilang
entah ke mana.
Sesudah menunaikan solat, dia terus terlentang di atas
katil. Matanya terkulat-kulat memandang syiling. Hendak tidur, rasa mengantuk
telah hilang. Hendak makan, tekaknya langsung tidak berselera. Duduk di rumah
dua tingkat seorang diri ini memang membosankan.
Tangannya mula mencapai telefon bimbit. Ada rindu yang
menyapa di ruang hati. Lama dipandang skrin telefonnya itu. Namun satu
perkataan pun masih belum mampu ditaip di skrin telefon.
‘Nak mesej ke tak nak?’
‘Mesejlah… tanya khabar..’ Jarinya mula menaip sepotong
ayat.
‘Entah-entah dia tengah mesej dengan Dija?’
Terus dipadam ayat di dalam skrin telefon itu. Susah bila
rasa cemburu hinggap di laman hati. Hatinya terus diserang kacau bilau.
‘Kalau dia mesej dengan Dija pun…. Dia boleh je balas mesej
aku…’
Persoalan demi persoalan mula menghendak dada fikiran.
Akhirnya tanpa berfikir panjang, dia terus menaip ayat dan menghantar mesej
kepada Mujahid.
Salam… buat apa? Saya tak boleh tidur…
Dilepaskan satu keluhan apabila selesai menekan butang send.
Hendak menghantar mesej pun terpaksa berfikir banyak kali. Terus dibelek-belek
telefonnya itu. Namun tiada sebarang tanda-tanda yang mesejnya akan dibalas.
Aisyah melepaskan keluhan. Hampa tak usah cakaplah. Memang
tak terkira. Namun tiba-tiba telefonnya berbunyi. Tanda mesej masuk! Hanya
Allah yang tahu rasa terujanya sekarang.
W’salam… menunggu lena tiba.. lah, kenapa x boleh tidur?
Rindukan saya ya…
Kembang setaman Aisyah dibuatnya. Walaupun dia tahu yang
Mujahid sedang bergurau namun hatinya tetap disulami dengan bunga-bunga
bahagia.
Sila jgn perasan… Rindukan awak… memang tak lah…
Sengaja Aisyah hendak menjual mahal dengan Mujahid. Walaupun
dia sangat menyintai Mujahid, tapi itu tidak bermakna dia harus meletakkan
maruahnya di bawah kaki. Membenarkan Mujahid mempermainkan jiwanya.
Alah.. saya baru nak balas rindu awak..
x apalah kalau awak tak rindu,
saya nak rindukan orang lain lah…
Tak tertelan air liur Aisyah dibuatnya.
Eh, mana boleh macam tuh…
Protes Aisyah selamba. Hatinya berdegup laju. Pasti dia
hendak merindui Khadija.
Jadi, rindulah ni ya…
Tersenyum-senyum Aisyah dibuatnya. Terasa jiwanya dihias
cantik oleh Mujahid. Belum sempat Aisyah hendak membalas, ada mesej masuk lagi.
Saya nak call boleh?
Aisyah rasa seperti hendak meloncat segirangnya. Tidak
terkata perasaannya tika ini. ‘Wahai Mujahid, adakah ini tanda bahawa awak akan
menerima saya?’
Kredit awak kan… janganlah tanya saya…
Setelah menekan butang send, terus telefonnya berdering
nyaring. Wajah Aisyah merekah dengan senyuman manis. Terus ditekapkan telefon
bimbit itu ke cuping telingannya.
“Assalamualakum…” Suara di sana mampu menghanyutkan rasa
yang menggila.
“Walaikummusalam…”
“Sihat?” Tanya Mujahid ramah.
“Sihat je…”
“Haruslah… doktor kena jaga kesihatan diri sendiri.. Baru
boleh jaga kesihatan orang lain.” Aisyah ketawa sedikit sedangkan tak ada yang
lawak pun dalam baris ayat Mujahid itu.
“Dah lewat nih.. pergilah tidur.. Esok shif pagi kan..” Ujar
Mujahid prihatin.
“Tak mengantuk lagi…”
“Ke nak saya dodoikan….” Tawaran Mujahid itu seperti bulan
jatuh ke riba. Hati Aisyah sudah berdegup kencang. Sekencang laluan angin yang
menderu laju.
“Hmm.. sedap ke suara awak tuh?” Sakat Aisyah selamba. Dia
mula ketawa kecil.
“Ehem-ehem.. Tengok oranglah…”
“Okay… satu, dua, tiga…Go!” Kira Aisyah tanpa disuruh.
Andainya dapat engkau mendengarkan
Suara di hatiku melagukan rindu
Kiranya engkau mampu mentafsirkan
Setiap bait kata-kata yang terucap
Pasti dirimu kan memahami
Harapan kasih yang terbina
Sekian lama di sudut hatiku
Hanyalah untukmu
Bukanlah aku sengaja
Melindungi rasa di jiwa
Namun bimbang diri kan terleka
Hanyut dibuai angan dan mimpi indah
Hingga terabai segala cita
Sedang khayalan tak menjanjikan
Segunung kebahagiaan
Sebagai mahar hantaran
Apakah mungkin engkau mengerti
Setiap cinta yang dilafazkan
Bukanlah sekadar mainan
Tetapi sebuah janji
Mata Aisyah berkaca tika mendengar bait-bait lagu yang
menyentuh hati perempuannya. Suara Mujahid sangat syahdu menampan telinga.
Adakah ini bermaksud yang dirinya sudah diteima oleh Mujahid? ‘Arrgghh… Mujahid
sering bermain dengan perasaan ini!’
“Okay.. Saya dah nyanyi.. Jadi awak harus tidur sekarang
Aisyah…” Putus Mujahid lembut.
“Id… Adakah ini bermaksud….” Kata-kata Aisyah terhenti.
Mencari kata yang lebih sesuai untuk dirungkaikan.
“Erk… ini hanyalah lagu kesukaan saya… Saya harap awak pun
turut menyukainya..” Kata-kata Mujahid itu terus membawa semangat Aisyah
kembali jatuh ke tanah. Hilang terus keyakinannya untuk memiliki Mujahid
sebentar tadi. Nampaknya, Mujahid masih belum memutuskan siapa yang akan
menjadi suri di hatinya.
“Selamat malam….” Air mata Aisyah mula bergenang. Rasa sebak
mula mampir.
“Selamat malam.. sebelum tidur, jangan lupa baca doa ya…”
Nasihat Mujahid lagi. Tanpa menunggu lagi, terus Aisyah memutuskan talian.
‘Ya Allah.. sampai bila aku harus menanti jawapannya?’
***
Awal pagi seperti ini, pasti dia akan mengemas barang-barang
di kedai itu. Stok di bahagian belakang dikira. Kerjanya walaupun nampak remeh,
tapi tetap tidak akan diambil mudah. Segala keperluan kedai, pasti akan
disempurnakan sebaiknya.
“Dija… dah sarapan belum?” Tanya Syahmi. Anak tuan punya
kedai.
“Dah.. dekat rumah tadi.” Jawab Khadija pendek sambil
meneruskan kerjanya.
Syahmi mengarukan kepalanya berulang kali. Bingung untuk
mencari topik untuk berbual dengan Khadija. Sejujurnya, dia memang tertarik
dengan sikap sempoi bersulamkan santun milik Khadija. Ada ketegasan dalam sikap
garangnya. Ada kelembutan dalam kekasarannya. Dan ada kecantikan yang hanya
boleh ditilik oleh mata hati.
Dia sedar yang ramai jejaka di kampung ini yang datang ke
kedai bapanya ini hanya semata-mata kerana ingin berjumpa dengan Khadija. Kata
orang kampung, Khadija dikatakan seperti perlaris di kedai ini.
Khadija yang cantik…
Khadija yang rajin…
Khadija yang baik…
Khadija yang solehah…
Pokok pangkalnya Khadija menjadi idaman hati mak cik-mak cik
di kampung untuk dibuat menantu. Silap hari bulan, ada mak cik yang offer
Khadija menjadi madu mereka.
Syahmi mengeluh sedikit. Mampukah dia memiliki jiwa Khadija
yang istimewa itu? Dia sendiri pemalu untuk memulakan perbualan dengan Khadija.
Khadija juga seolah-olah tidak memberikan respon yang positif pada huluran
salam perkenalannya. Jadi semua ini membuatkan dia kekok!
Khadija yang mendengar keluhan itu terus mengarukan
tengkuknya yang beralaskan tudung.. Sebenarnya dia pelik dengan kedatangan
Syahmi ke kedai pada waktu pagi sebegini. ‘Lelaki itu tak berkerja ke?’
Namun cepat-cepat dia angkat bahu. Tidak mahu mempedulikan
kehadiran Syahmi itu yang tidak memberi apa-apa kesan terhadap kerja-kerjanya.
Bibirnya mula menguntum senyuman apabila terpandangkan gula-gula HUDSONS yang
terletak cantik di dalam balang.
Teringat pula ketika zaman persekolahan dahulu. Apabila
seniornya yang paling dia kagumi menghadiahkan gula-gula ini kepadanya.
“Tahu tak apa maksud gula-gula nih?” Tanya Mujahid sambil
tersengih-sengih.
“Errkk… Gula-gula pun ada maksud ke?”
“Adalah.. hanya orang yang kreatif je yang boleh reka.. Hah,
cepatlah teka! Kata editor majalahs sekolah.. Haruslah teror bab-bab macam
nih…” Gesa Mujahid tak sabar.
“Saya ni editor majalah sekolah, bukan editor tak
bertauliah!” Membulat mata Mujahid apabila menerima jawapan balas dari Khadija.
“Nak teka ke tak nak?” Mujahid mula buat-buat merajuk! Aduh,
sangat kelakar bila pak ustaz buat muka tak siap itu.
“Sabar itu separuh daripada Iman kan…” Mujahid tersenyum.
Senang hati pula bila dikenakan oleh Khadija.
“Errkk.. Tak tahulah! Otak tak berapa setting sangat…Banyak
wayar terputus!” Dia sebenarnya bukanlah pandai sangat bab merapu meraban ini.
Silap hari bulan, dengan fius-fius Mujahid pun terjahanam sekali.
“Hanya Untuk Dija Seorang Orang Nak Sorry… H.U.D.S.O.N.S.”
Terang Mujahid sambil menunjukkan wakil-wakil setiap huruf.
Sungguh, Khadija tidak mampu untuk menyembunyikan
senyumannya. Terasa jiwanya seperti layang-layang yang terputus talinya.
Berterbangan mencari tempat duduk yang sebenar. Kata-kata yang mendalam itu
mendalamkan lagi perasaaannya terhadap Mujahid.
“So sweet… rasa sayang pulak nak makan.” Terus disimpan
gula-gula itu ke dalam beg sandangnya.
“Sayang nak makan ke or sayang kat orang yang bagi?” Duga
Mujahid nakal.
“Jangan nak perasan sangatlah!” Hentam Khadija cepat-cepat.
Tidak mahu jika Mujahid dapat mengesan air mukanya yang mula disimbah rasa
segan. Mereka masih kecil lagi untuk membicarakan soal perasaan ini.
Senyuman manis Khadija makin menjadi-jadi apabila mengingatkan
tentang janji temunya bersama Mujahid petang nanti. Lelaki itu mahu meminta
pendapatnya untuk membeli hadiah buat emaknya. Siapa lagi, bakal mertua dia
lah! ‘Errk… belum apa-apa lagi dah mengaku mertua ke? Nampak sangat aku
terdesak!’
Tanpa sedar, Syahmi ralit melihat kelibat Khadija yang
tersenyum sendiri itu. Nampak manis dah ikhlas sahaja senyumannya. Adakah
Khadija senang dengan kehadirannya di sini?
Baru sahaja dia ingin memanggil Khadija namun tiba-tiba
muncul seorang lelaki yang terus berlari masuk ke dalam kedai sambil
terjerit-jerit.
“Along… Along…”
“Hei, kenapa jerit-jerit ni?” Tanya Khadija aneh!
“Abah… abah…” Syakir tidak mampu untuk meneruskan bicara
apabila nafasnya tersekat kerana berlari ke kedai ini. Langsung lupa hendak menggunakan
motor apabila keadaan kalut menyapa.
“Kenapa dengan abah?” Jantung Khadija sudah mula berlagu
kencang.
“Abah jatuh bilik air! Dia pengsan….Pak cik Kamil dah bawa
abah pergi hospital..”
Tangan kanan Khadija mula ditekup ke mulut. Syahmi yang sedari
tadi berada di antara kedua beradik itu juga turut terkejut. Matanya mula
memandang ke arah mata Khadija yang mula berkaca-kaca itu.
‘Ya Allah… jangan kau ambil pinjamanMu itu.. Aku masih belum
puas bermanja bersamanya.’ Bisik Khadija lirih. Mengharapkan agar Dia
menenangkan rasa hati yang gundah!
***
Muka mak jelas risau apabila melihat abah yang terlantar di
atas katil itu. Mujur sahaja Sumayah bekerja sebagai penjawat awam. Jadi boleh
lah abah di tempatkan di wad kelas kedua. Tidaklah perlu bersesak-sesak berada
di wad biasa yang pasti lain situasinya.
“Mak… janganlah menangis.. Abah tak apa-apa.” Pujuk Syakir
lembut sambil menggosok bahu Puan Rabiah. Hujung lengan baju kurung itu dibawa
ke mata. Puan Rabiah nyata tidak mampu mengawal rasa sebak.
Khadija hanya memandang badan abahnya yang berselirat dengan
wayar di bahagian dadanya. Doktor telah mengesahkan bahawa abah mendapat
serangan jantung kecil. Mungkin perkara itu yang membimbangkan emaknya.
Khadija sendiri naik aneh. Selama ini, abahnya sihat-sihat
sahaja. Malah abah amat menitikkan soal pemakanan dan soal kesihatan. Siapa
sangka yang abah akan mendapat serangan jantung seperti ini. Dugaan Allah itu
tidak disapa oleh andaian manusia.
Dia juga takut kalau-kalau dia bakal kehilangan abahnya. Dia
belum cukup kuat untuk berdiri tanpa bantuan abahnya itu. Selama ini, lelaki
tua itu selalu menyumbangkan tenaga dan keringatnya dalam membesarkan mereka
adik-beradik. Malah Abah langsung tidak garang. Bermacam-macam kisah dan cerita
yang telah mereka kongsi bersama.
“Mak… Dija pergi solat asar dulu ya…” Pohon Khadija sambil
mencuit bahu emaknya sedikit. Dalam hatinya berharap benar yang Puan Rabiah
tidak akan mengekorinya. Sebenarnya dia tidak mampu menahan sebak lagi. Air
matanya pasti akan meleleh bila-bila masa sahaja lagi. Namun untuk mencurahkan
rasa sedih itu dihadapan keluarganya, Khadija langsung tidak mampu. Lagipula,
dia tidak boleh bersolat. Itu yang membuatkan hatinya berganda dengan keresahan.
Sesampai sahaja di satu penjuru dinding, Khadija terus duduk
di atas kerusi yang tersedia. Tanpa ditahan lagi, permata jernih itu mula
merintik di pipinya. ‘Adakah ini tanda-tanda bahawa Dia ingin mengambil abah
dari pangkuan keluargaku?’ Dia teresak-esak sendiri tanpa teman.
“Dari dulu lagi… Awak suka menangis sorang-sorang kan?”
Teguran itu membuatkan Khadija mengangkatkan wajahnya.
“Id…”Tanpa sedar, dia telah menjamahkan wajahnya yang
dibanjiri tangisan itu.
“Ish ish ish… tak cantiknya bila awak menangis…” Usikan
Mujahid itu terus membuatkan Khadija berkalih ke arah lain. Terkejut, tergamam,
terkesima, terpana… semuanya diadun menjadi sebati. Tertanya-tanya bagaimana
Mujahid boleh berada di hospital ini?
Mujahid terus melabuhkan punggung di sebelah Khadija. Dia
tahu.. pasti berat untuk anak sulung itu menghadapi semua ini sendiri. Ini kali
kedua dia melihat Khadija menangis. Yang pertama kalinya ialah selepas Khadija
kecewa kerana tidak dapat menyambung pelajaran ke pengajian tinggi kerana kedaifan
keluarga.
“Penat-penat saya datang dari jauh, awak tak mahu tengok
muka saya yang hensem ni ke?” Usik Mujahid sengaja. Ingin mematahkan kesedihan
milik Khadija.
Tanpa pengetahuan Mujahid, Khadija mula tersenyum hambar.
Cepat-cepat dikesat sisa-sisa air mata yang menghuni ruang wajah. Lambat-lambat
dia beralih memandang Mujahid. “Ada tisu tak?”
Mujahid ketawa! Comel pula soalan Khadija itu.
“Tisu tak ada… sapu tangan adalah…” Sapu tangan berwarna
hijau itu terus dihulurkan kepada Khadija. Tanpa banyak soal, terus dilap air
hidungnya yang meleleh. Malu pula apabila Mujahid melihat keadaan dirinya yang
selekeh ini.
“Errk.. tapi sapu tangan tu saya dah guna lap hingus tadi.”
Ucap Mujahid tanpa perasaan.
“Eee… tak senonohlah.. Dah guna pun nak bagi orang pinjam
lagi.” Marah Khadija geram.
“Sweet ape… sharing is caring kan..” Usik Mujahid. Sengaja
ingin menghalau pergi semua kesedihan milik Khadija. Biar lega. Jadi gadis itu
akan meluahkan segala kesedihannya dengan lebih tenang tanpa tekanan.
“Mana awak tahu saya dekat sini?” Persoalan itu mula keluar
dari bibirnya.
Mujahid tidak menjawab tapi mengeluarkan telefon bimbit dari
poket seluarnya. “Eh, itu telefon saya! Awak ambil dekat mana?” Khadija mula
dibanjiri rasa aneh yang berganda-ganda banyaknya.
“Saya telefon awak tadi… tapi Syahmi anak taukey awak yang
angkat. Dia kata awak tertinggal telefon. Dialah yang cakap awak ada kat
hospital. Jadi sebelum saya datang hospital, saya pergilah kedai dulu… Ambil
telefon awak ni.. Takut kalau awak nak guna kan…” Telefon bimbit itu mula
bertukar tangan.
“Mana awak tahu saya menangis dekat sini??” Soalan itu,
lebih ditujukan kepada Mujahid.
“Saya cari awak ni guna instinct jeh…” Tutur Mujahid separa
berlagak. Mereka saling bertukar senyum.. Namun nyata hambar. Seketika, mereka
mula dijenggah kebisuan.
“Saya takut….” Air matanya mula bertakung lagi.
“Orang beriman tak takut mati… malah dia ternanti-nanti saat
kematiannya. Untuk menemui Dia Yang Maha Esa….” Nasihat Mujahid lembut.
“Tapi saya tak kuat… tak kuat nak kehilangan abah..” Tidak
mampu lagi untuk dia bendung air mata ini. Lantas hanya dibiarkan permata itu
berlabuh di pipinya.
Mujahid hanya memandang dengan hujung mata. Akalnya mula
merangka ayat yang sesuai untuk dipersembahkan kepada jiwa Khadija yang
diserang ketakutan itu.
“Terkadang, Allah memberikan ujian yang berat kepada awak
sebab Dia percaya pada kemampuan awak melebihi pada kepercayaan awak pada diri
sendiri. Bersyukurlah kerana menjadi manusia yang terpilih Dija…”
Tiap bait kata dari Mujahid itu umpama gula yang melarut
dalam jiwanya. Membasuh rasa gelisah yang menghurung. Menenangkan hati yang
rawan. Hanya melalui kata-kata, rasa cinta itu sudah menular dalam diri.
Menjalar tanpa mengenal erti surut.
“Perjuangan kita masih jauh beribu batu.. selagi roh masih
di jasad, hidup mesti diteruskan.. Walau awak kehilangan orang yang paling awak
sayang sekalipun, awak kena ingat seperkara Dija… Iaitu kasih sayang awak tak
akan mampu untuk melawan kasih sayang Allah padanya.” Tambah Mujahid lagi.
Takdir telah Allah tetapkan. Semua yang hidup, pasti akan
mati. Jadi setiap manusia harus tidak terleka melayan rasa sayang dan tidak
terjerumus dilanda arus kesedihan.
“Menangis itu boleh… itu wajar untuk seorang manusia.. Apa
yang tak boleh ialah, bila manusia meletakkan rasa takut yang berlebihan untuk
kehilangan orang yang tersayang. Segala suratan telah Allah persiapkan.. Apa
yang manusia perlu lakukan ialah, berjalan di atas hamparan itu dengan penuh
rasa rendah diri.. penuh rasa kesediaan.. penuh redha….”
“Terima kasih Id…” Ucap Khadija ikhlas. Ketika dia sedang
berduka, Mujahid pasti akan berada di sebelahnya. Tidak jemu-jemu mengajar
hatinya agar terus bersabar.
‘Adakalanya, tak peduli berapa kali aku perlu meyakinkan
diriku bahawa aku lebih baik tanpanya.. namun sebahagian dari hatiku masih
ingin memilikimu..’ Bisik hati kecil Khadija.
“No hal lah…”
“Id.. sorry.. saya tak dapat nak teman awak beli hadiah
untuk mak awak…” Khadija mula rasa bersalah kerana memungkiri janji. Dia
sendiri tidak menyangka yang harinya ini akan menjadi seperti ini.
“Tak apa… Family come first kan… Jom.. teman saya melawat
bapak mertua saya..” Terkesan sedikit hati Khadija apabila mendengar kata-kata
Mujahid itu. Apabila Mujahid ketawa, dia tahu yang itu hanyalah sekadar gurauan
untuk menceriakan hatinya. Namun percayalah, gurauan seperti itu lebih
menyakitkan jiwanya.
***
Tangan kanan Aisyah mula dibawa ke mulut. Menutup mulut yang
diserang kantuk itu. Jam di dashboard telah pun menunjukkan pukul satu pagi.
Malam ini, dia terpaksa untuk membantu menguruskan pembedahan kecil.
Terpaksalah pulang lewat malam melebihi dari hari biasa.
Pemanduan yang tenang itu mula dikejutkan dengan bunyi
letupan. Kereta yang dipandunya mula hilang kawalan namun cepat-cepat dikawal
stereng kereta dan mula berhenti di bahu jalan.
Mata Aisyah terus dibawa ke arah belakang. Dia sendiri masih
belum dapat mengenal pasti bunyi letupan itu. Perlahan-lahan, dia mula menelan
liur. Melihat keadaan yang sunyi sepi itu membuatkan dia dijenggah rasa untuk
keluar memeriksa tayar keretanya.
Setelah diambil nafas beberapa kali sambil diselangkan
dengan selawat, dia mula membuka pintu kereta. Namun belum sempat dia keluar
lagi dari kereta, telefon bimbitnya mula berlagu riang. Apabila melihat
gerangan si pemanggil, terus diangkat dan dihalakan telefon ke telingannya.
Namun sempat dia mengunci pintu keretanya. Bimbang jika diserang hendap ataupun
disamun. Apatah lagi kawasan yang menghala ke perumahannya ini memang senyap
sunyi.
“Hello… Sya, awak ada kat mana?” Suara di hujung talian
kedengaran sedikit risau.
“Saya kat tepi jalan..” Adu Aisyah perlahan. Hatinya lega…
Lega kerana Mujahid menefon dirinya di saat genting ini.
“Hah, buat apa kat tepi jalan tuh?”
“Tak kan lah berkelah pulak.. Kereta saya.. pancit kot…”
Aisyah mula kusut. Matanya meliar ke sana sini. Rasa takut usah cakaplah…
memang menggunung banyaknya.
“Kot?”
“Saya tak pasti…. Saya takut nak keluar dari kereta…” Adu
Aisyah lagi.
“Awak ada kat mana tuh?”
“Simpang nak masuk dekat perumahan saya ni.. Errk.. kenapa
awak tanya?” Dalam hatinya, dia amat mengharapkan kedatangan Mujahid tika ini.
Sungguh, jika ada orang yang sanggup berhenti pun, dia pasti tidak akan sanggup
untuk membuka pintu keretanya.
“Saya datang…. Jangan matikan telefon.. Saya nak kunci rumah
kejap…” Aisyah tersentuh! Sungguh, dia tidak menyangka yang Mujahid sanggup
datang untuk membantunya
“Errk.. tak apalah Id.. Rasanya saya…” Dia mahu Mujahid
datang tapi dalam pada masa yang sama, dia memang tidak mahu menyusahkan
Mujahid. Bimbang jika Mujahid berfikir yang dia sengaja ingin mengada-ngada.
“Habis tu, awak nak tukar tayar sendiri ke? Pandai?” Aisyah
sendiri tidak dapat mengenal pasti sama ada itu ayat tanya ataupun ayat perli.
“Memanglah tak pandai… Tapi bedal jelah…”
“Jangan nak mengada-ngada. Saya dah on the way nih… Hmm,
make sure pintu berkunci… pasang lampu kecemasan….dan kalau orang berhenti,
jangan bukak pintu..” Arah Mujahid tegas.
“Okay… Errk… awak drive lah dulu.. Kalau dah nak sampai,
telefon saya semula…” Tidak mampu dia menolak bahawa jiwa wanitanya terharu
dengan bantuan Mujahid ini.. Mungkin nampak kecil dan remeh, tapi hanya dia
yang mengerti. Betapa Mujahid akan sentiasa ada di waktu susahnya. Di saat dia
memerlukan seseorang, lelaki itu pasti akan hadir menghulurkan bantuan.
“Lah… tak payahlah matikan talian…”
“Habis tu macam mana awak nak drive?” Takut juga kalau-kalau
pemanduan Mujahid terganggu apabila hendak bercakap telefon dengannya.
“Tak apa.. saya pakai earphone… Lagipun, saya risau
kalau-kalau tiba-tiba tak dapat call awak terus.. Kalau macam ni, saya masih
tahu yang awak selamat.”
Air mata Aisyah hampir-hampir sahaja menitis. ‘Ya Allah,
bagaimana aku hendak menanamkan rasa benci terhadap dirinya jika dia sering
berada di sisiku… membantu diriku… Kenapa tidak Kau jauhkan dirinya dari diriku
jika benar dia bukan milikku?’
“Sya… awak okay kan?” Tanya Mujahid bimbang. Tiba-tiba pula
suara di hujung talian itu disapa sepi.
“Okay…” Suaranya sedikit serak menahan sebak.
“Sya… are u crying?” Tembakan Mujahid memang sentiasa tepat.
“Kenapa nih?” Tanya Mujahid lagi apabila tidak mendapat
sebarang respon daripada Aisyah.
“Saya takut….” Tipu Aisyah. Tidak mahu menyatakan rasa
terharunya dengan sikap baik Mujahid itu. Bimbang lelaki itu meluat pula dengan
dirinya.
“Nak takut apa? Saya kan ada…. Saya dah drive 140 kilometer
dah nih… Kalau nak laju lagi tunggu saya dapat lesen driver kapal terbanglah…”
Sempat lagi Mujahid bercanda. Cuba melegakan ketakutan Aisyah. Menghilangkan
ketakutan yang bermumkim.
“Tak pasang radio ke?”
“Tak… takut kalau-kalau dengar bunyi yang bukan-bukan…”
Terus Mujahid meledakkan tawa. Aduh… nama sahaja sudah besar
panjang. Namun masih terdidik dengan cerita-cerita seram drama melayu. Aisyah…
Aisyah.. tak semenggah sungguh!
“Id… ada sebuah kereta berhentilah…” Aisyah mula rasa cuak.
Rasa nak menangis lagi apabila melihat bukan seorang.. bukan dua orang.. dan
bukan tiga tetapi empat orang lelaki mula turun dari kereta waja itu.
“Hah, ada berapa orang?”
“Empat….” Hampir tidak terkeluar patah perkatannya itu. Dan
apabila lelaki itu sudah mula mengetuk tinggkap keretanya, badannya sudah mula
menggigil menahan rasa cuak!
“Id……” Rasa takutnya makin bertambah apabila telefon
bimbitnya tiba-tiba kehabisan bateri. ‘Ya Allah… apa aku nak buat
sekarang?’Aisyah menutup wajahnya. Takut yang teramat sangat!
Ketukan bertalu-talu itu mula berhenti. Perlahan-lahan dia
menjatuhkan tangan di mukanya. Mula mengintai di celah-celah jari yang memberi
ruang sesama sendiri. Dan hatinya terus lega apabila melihat wajah seseorang
yang sangat dia tunggu-tunggu. Mujahid terus mengarahkan dia keluar dari
kereta.
“Kami cuma nak tolong jeh… janganlah bersangka buruk..” Ujar
seorang lelaki. Air mukanya agak jernih. Memang boleh nampak rasa ikhlasnya.
“Maaflah… bukan apa.. Saya dah pesan dekat isteri saya
supaya jangan bukak pintu kereta… Bimbang jugak kan.. Macam-macam hal boleh
terjadi sekarang ni.” Tergamam Aisyah dibuatnya. Bukan ayat bimbang yang
menghantuinya tetapi perkataan isteri itu. Kalaulah betul Mujahid ini adalah
suaminya, sudah lama dipeluk erat. Menghilangkan kegelisahan hatinya. Entah apa
motifnya berbohong kepada empat orang pemuda itu.
“Tapi alang-palang kami dah turun ni, biarlah kami tolong
tukar tayar ni sekali… Lagi ramai lagi cepat siap!” Ujar seorang lelaki lagi.
Mujahid dan Aisyah mula berpandangan.
“Eh, tak apa ke? Dah pukul berapa nih…” Bukanlah Mujahid
hendak berprasangka buruk sesama Muslim tapi sikap waspada itu perlu untuk
mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Alah.. kami pun bukan nak ke mana-mana pun.. Biarlah kami
tolong sekali. Hmm, Tayar spare ada kan?” Cepat sahaja Aisyah mengangguk
menjawab persoalan seorang pemuda itu.
Mujahid menghulurkan kunci keretanya kepada Aisyah. “Masuk
kereta saya… Jangan lupa kunci. Kalau ada apa-apa, terus selamatkan diri!”
Pesan Mujahid sungguh-sungguh.
“Tapi….” Hati yang lega tadi kembali diserang gundah.
“I really mean it Sya…” Tekan Mujahid serius. Dengan berat
hati, terus dia masuk ke dalam kereta CRV milik Mujahid.
Di dalam kereta, tidak habis-habis Aisyah berdoa agar
semuanya dipermudahkan oleh Allah. Janganlah berlaku perkara yang buruk-buruk!
Tidak sampai lima belas minit, tayar kereta itu mula siap dipasang. Mata Aisyah
sempat menangkap tangan Mujahid yang menghulurkan duit kepada empat pemuda itu.
Namun ditolak lembut oleh mereka.
“Kenapa matikan talian tadi? Tahu tak saya risau?” Suara
Mujahid serius sahaja apabila menghampiri Aisyah.
“Erk… bateri out!” Sungguh, tidak pernah dia melihat wajah
Mujahid setegang ini. Adakah benar Mujahid begitu merisaukannya?
“Kat dalam kereta tak ada charger ke?”
“Ada…” Jawapan itu seolah-olah memperbodohkan diri sendiri.
Kepala yang tidak gatal itu, mula digaru.
“Habis tu kenapa tak guna?”
“Hmm.. tadi kaget sangat!” Memang dia kalut sangat pun tadi.
Dalam kepalanya ada dua perkataan sahaja. Sama ada kena bunuh atau kena rogol!
Fuh, seram!
“Dah, pergi masuk kereta.. Saya follow dari belakang…” Arah
Mujahid lagi.
“Eh, tak apalah…. Saya boleh balik sendiri.. Awak balik
jelah rumah…”
“I said now Sya!” Terus Aisyah mencicit lari ke keretanya.
Entah kenapa Mujahid bertukar gerun pada malam ini. Tapi dalam masa yang sama,
sikap seorang hero memang terseralah! Kalau tak ada Mujahid, entah apalah
nasibnya tadi.
“Id…. Thanks…for everthing..” Ucap Aisyah usai dia sampai di
hadapan rumah..
“Dah… pergi masuk tidur..” Arah Mujahid lagi. Tidak manis
rasanya jika mereka terus berbual di luar rumah ini.
“Id….”
Mujahid yang hendak melangkah ke kereta mula berpaling.
“Kenapa awak mengaku yang saya ni isteri awak?” Tidak bisa ditahan rasa hatinya
untuk mengetahui isi jawapannya.
“Sebab saya nampak dia orang macam nak mengorat awak jeh!”
Luah Mujahid jujur.
“Oh… cemburu lah nih…” Usik Aisyah sengaja. Sedangkan di
dalam hatinya sudah tumbuh berladang-ladang tanaman.
“Dah.. dah… pergi masuk.. dah malam sangat nih… dan jangan
lupa mandi ya… Ada bau dah nih…” Usikan Aisyah tadi tidak dihiraukan. Dia
sendiri tidak dapat meneka perasaan milik sendiri. Macam cemburu. Macam tidak..
Sukar benar hendak di scan perasaan milik sendiri.
“Hampeh!” Walaupun malam ini berlangsung panjang dengan
kepenatan, namun rasa bahagia tetap menjalar di ruang hati.
***
Rasa dingin itu tidak mampu membuatkan tidur Mujahid lena
panjang. Lantas matanya merayap pada jam loceng yang terletak di meja kecil di
sebelah katilnya. Perlahan-lahan dia mula bangun dari pembaringan.Mukanya yang
penat itu diraup beberapa kali.
Tangannya mula mencapai telefon bimbit yang memang sudah
sedia berada di atas katil. Laju sahaja tangannya menaip mesej. Dan mesej itu
mula dihantar secara serentak kepada Khadija dan Aisyah.
Jangan biarkah lena membasuh tahajud kita.. ayuhhh..
bangkitlah.. menunaikan tangungjawab kita sebagai hamba…
Kakinya mula dibawa ke bilik air. Mula menyegarkan badan.
Tidak lama selepas itu, dia mula berdiri di atas sejadah. Mengharapkan
keredhaan yang maha esa.
“Ya Allah, jadikanlah cintaMu sebagai perkara yang paling
aku cintai.. dan jadikanlah rasa takut kepadaMu sebagai perkara yang paling aku
takuti. Putuslah dariku keperluan-keperluan dunia dengan rasa rindu akan hari
pertemuan denganMu. Apabila engkau jadikan penyejuk mata orang yang cinta dunia
dengan dunia mereka, maka jadikanlah penyejuk mataku dengan beribadah
kepadaMu.”
***
Khadija yang sedang menjaga abahnya itu mula tersedar
apabila mendengar bunyi mesej masuk! Bibirnya tersenyum menyambut bait kata
mesej Mujahid itu. Lantas dia membetulkan pinggangnya sikit. Dia masih ingat
lagi pesanan Mujahid sebelum lelaki itu pulang.
“Jaga abah baik-baik… Jaga family elok-elok.. Setiap saat
Allah akan memanggil-manggil kita untuk kembali kepadaNya. Dengan cara apa
saja. Dia, dengan kasih sayangNya, terkadang membuat suasana kehidupan seorang
anak manusia sedemikian rupa dengan musibah, kesusahan dan kesukaran sehingga
kalbunya dibuatNya menoleh kepada Allah..Tetapi.. teramat sedikit orang yang
mendengarkan, atau berusaha mendengarkan, panggilanNya ini. Jadi terpulang sama
awak nak kekal berdiam atau pun hendak menoleh ke arahnya…. Pilihan di tangan
awak Dija.”
Benar kata orang… Menyintai seseorang yang baik akan
membuatkan kita ingin berubah menjadi yang lebih baik dan untuk memiliki yang
terbaik, ianya menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.
Lantas digagahkan kaki ke surau. Di sepertiga malam in,
eloklah dilepaskan keluh resahnya mengadap Yang Esa.
***
Punggungnya baru sahaja mendarat di kerusi. Melepaskan lelah
setelah membuat rondaan. Matanya mula terpandangakan telefon bimbitnya.
Bibirnya tersungging dengan senyuman apabila terpandangkan mesej daripada
Mujahid itu.
Cepat-cepat dia ke surau berdekatan. Mohon pertunjuk
daripada Allah. Jika Mujahid tidak mampu untuk memberikan kata putus untuk
dirinya, biarlah dipohon jawapan itu daripada pemilih hati ini.
“Ya Allah… Yang Maha Pengasih… seiringkanlah kami dalam
melayari hidup ini.. tetapi Tuhanku… seandainya telah Kau takdirkan dia bukan
milikku.. bawalah dia jauh dari pandanganku.. luput dari ingatanku…dan
perliharalah diri ini dari rasa kecewa..
Ya Allah Ya Tuhanku… Berikanlah aku kekuatan melontar
bayangannya kedada langit. Hilang bersama senja nan merah dan gelap pekat awan
agar aku rasa bahagia walau tanpa dirinya… Sesungguhnya hanya padaMu tempat aku
bersandar harap..” Di raup wajahnya. Rasa tenang sudah mula menjalan di pelusuk
hati.
***
Hati Khadija berdegup kencang di luar kebiasaanya. Tidak
berkelip dia memandang wajahnya di hadapan cermin. Solekan nipis itu
benar-benar mampu membuatkan wajahnya bertukar seratus peratus.
“Berapa lama lagi kau nak pandang muka kau tu Dija oit… Dah
cukup cantik dah..” Tegur Suhaila sambil tersengih-sengih. Pertama kali
menghadiri reunion seperti ini, haruslah mendebarkan jiwanya. Apatah lagi
Mujahid juga turut menyertai reunion kali ini.
“Cool bebeh… macam dia sorang je ada admire..” Usik mengusik
seperti ini sudah terbiasa di antara dia dan Suhaila.Mereka mula melangkahkan
kaki ke meja yang tersedia.
“Sue.. sebelum aku bunuh kau, baik kau senyap!” Ugut Khadija
bengang. Sedari dulu lagi Suhaila gemar mempermainkannya.
“Amboiihh… kalau depan Id tuh, bukan main gemalai lagi kau
kan? Tapi depan aku… Siap keluar statement bunuh lagi kot… padanlah si Id tu tak
pandang kau Dija.. kau talam dua muka!”
“Weh, tak boleh cakap lebih kuat lagi ke?” Perli Khadija
bengang! Sudahlah ramai orang, pasti ada telinga yang terpasang ketika ini!
“Id…. Saya sayangkan awak!!!” Ajuk Suhaila lagi. Kali ini
dengan suara yang lebih kuat lagi.
“Ehem-ehem…. Boleh ulang sekali lagi?” Serentak Khadija dan
Suhaila berpaling. Alamak! Khadija sudah mula tepuk dahi. Dan Suhaila… gadis
itu masih boleh berpura-pura buat muka tak malu.
“Saya tu saya mewakili Khadija…” Tanpa izin, selamba sahaja
ayat itu keluar dari bibir Suhaila. Khadija mula mengetap bibir. Memang ada
yang nak kena bunuh betul-betul nih!
Mujahid tersenyum sahaja. Dia mula mengerling sedikit ke
arah Khadijah yang anggun mengenakan baju kurung moden berwarna merah hijau itu.
Menyerlahkan kecomelannya.
“Eh Dija, aku pergi jumpa Razif kejaplah…. Korang berbual
lah…” Tanpa menunggu lagi, terus Suhaila meninggalkan Mujahid dan Khadijah di
meja makan itu.
“Dija… warna baju ni sangat sesuai dengan awak..” Puji
Mujahid bertapis. Dia tidak suka jika memuji wanita secara berlebihan. Namun
cukuplah jika Khadija dapat merasai keikhlasannya.
“Terima kasih…” Jika bersama dengan Mujahid, adakalanya dia
terasa hipokrit. Dia mahu sentiasa sempurna di mata Mujahid Langsung tidak
mempamerkan sikapnya yang tercela. Mungkin ini sahaja cara untuk membali jiwa
Mujahid.
“Dija, tu bukan Amran ke?” Mata Mujahid sedikit mengecil.
Memandang seorang lelaki yang sedang berkepit dengan seorang perempuan yang
tidak kurang cantiknya.
“Aah..”
“Dia dah kahwin ke?” Tanya Mujahid kurang pasti.
“Dah…”
“Rugilah awak… dulu dia sukakan awak tapi awak jual mahal.”
Sakat Mujahid sengaja. Khadija gelak halus..
“Cinta… mana boleh dipaksa.”
“Cinta tu macam main nyorok-nyorok. Kita tahu ada orang
menyorok tetapi kita tak tahu dekat mana orang tu menyorok.. yang pasti ia
ada.. kita pun mencari-cari. Ada yang jumpa dan ada yang tidak.. tapi jangan
risau, bila orang tu dah penat menyorok, akan tiba masanya dia memunculkan
dirinya di depan kita… sama ada cari atau tidak, ia tetap ada dan kita tetap
akan melaluinya… sama ada cepat atau lambat sahaja.”
Khadija mengutip setiap patah perkataan Mujahid itu dengan
penuh khusyuk. ‘Orang itu sentiasa ada di hadapanku… tapi perasaannya sentiasa
di sorok tanpa pengetahuanku..’
“Mencari pasangan itu barat seperti mencari sepasang kasut.
Nampak cantik tapi tidak semestinya padan dengan kaki kita.. Jika kita memilih
kasut yang salah, ini akan membuatkan perjalanan kita tidak selesa kerana kasut
tersebut tidak serasi dengan kaki kita.. Begitu juga dengan mencari cinta..
cantik adalah sesuatu yang subjektif.. kerana yang penting dalam sebuah
hubungan itu ialah keserasian kerana keserasian akan membawa kepada hubugan
yang lebih selesa… Tak gitu?” Balas Khadija pula. Berbicara dengan orang yang
banyak idea ini pasti akan membuatkan otak kita bergeliga sekali.
“Wahh…. Dia dah keluar dah madah berhelah tuh…”
Mereka terus berbual sehingga seseorang mula memanggil Mujahid
menggunakan pembesar suara. “Malam ini, saudara Mujahid akan menyanyikan sebuah
lagu untuk kita…”
Khadija memandang Mujahid. Air mukanya jelas teruja. Dia
memang suka jika Mujahid menyanyi.
“Ish.. dia orang ni pandai-pandai jeh…”
“Pergilah nyanyi.. Saya dah lama tak dengar awak menyanyi..”
Pujuk Khadija penuh berharap. Akhirnya Mujahid mula melangkah ke depan.
Aku yang tak pernah bisa lupakan dirinya
Yang kini hadir diantara kita
Namun ku juga takkan bisa menepis bayangmu
Yang slama ini temani hidupku
*courtesy of LirikLaguIndonesia.Net
Maafkan aku menduakan cintamu
Berat rasa hatiku tinggalkan dirinya
Dan demi waktu yang bergulir di sampingmu
Maafkanlah diriku sepenuh hatimu
Seandainya bila ku bisa memilih
Kalau saja waktu itu ku tak jumpa dirinya
Mungkin semua tak kan seperti ini
Dirimu dan dirinya kini ada di hatiku
Membawa aku dalam kehancuran
Bait lagu Demi Waktu itu membuatkan hati Khadija tersentak
hebat! Entah mengapa, dia mula teringatkan Aisyah.. Adakah Mujahid memaksudkan
bahawa dirinya dan Aisyah sama-sama bernaung di dalam hati Mujahid?
‘Ketika kau merasa tak pasti.. jangan hanya berdiam diri..
Segera cari jawapan agar kau tahu kemana kaki ini harus dilangkahkan…’ Akal
fikirannya mula menyampaikan nasihat ke kotak hati. Tapi persoalannya, apa yang
perlu dia lakukan sekarang? Adakah dia perlu mengalah untuk menitipkan Mujahid
kepada Aisyah.. agar lelaki itu tidak perlu merasa dilema lagi?
***
Kemunculan Aisyah di pejabatnya pagi itu benar-benar membuatkan
Mujahid terkejut. Dia perasan pada beberapa mata yang memandang ke arah Aisyah.
Memang dia akui, siapa yang memandang ke arah Aisyah, pasti ingin memandang
untuk kali yang kedua. Wajah itu memang boleh menarik perhatian orang terutama
sekali kaum Adam.
“Kenapa datang sini?” Tanya Mujahid pelik.
“Kenapa? Tak boleh ke?” Tanya Aisyah polos. Adakah dia telah
menyusahkan Mujahid dengan kedatangannya?
“Bukan tak boleh.. Jangan salah faham.. Cuma saya pelik
je..” Ujar Mujahid sambil mengelap air hidungnya sedikit. Sudah hampir tiga
hari dia demam.
“Saya nak ajak awak makan pagi sekali… Itu pun kalau tak
menganggu lah…” Pelawa Aisyah perlahan. Dalam hati, dia berdoa agar Mujahid
tidak menolak perlawaannya.
“Hmm… sebenarnya saya dah beli nasi lemak tadi.” Terang
Mujahid serba salah.
“Kalau macam tu tak apalah…” Aisyah cepat-cepat ingin
beredar dari situ. Malu pula dengan Mujahid. Rancangnya, dia ingin membuat
kejutan buat Mujahid. Namun kejutan lain pula yang dapat.
“Erk.. Sya… awak bawak apa tu?” Baru Mujahid perasan pada
bekas bekal yang berada di dalam pegangan Aisyah itu.
“Oh… saya ada masakkan nasi lemak jugak.. Nasi lemak
sotong.. Tak apalah, awak ambik je… Ajak kawan-kawan makan sekali… dan ni
ubat.. ada ubat selsema, ubat batuk dengan ubat deman. Jangan lupa makan
pulak!”
Kesemua barang-barang itu Aisyah letakkan di atas meja kopi
yang memang sudah tersedia ada di bilik mujahid itu. Cepat-cepat dia berpaling.
Ingin keluar. Tiba-tiba rasa kecewa menular di hati. Dia baru sahaja habis shif
pagi. Cepat-cepat balik ke rumah untuk memasak nasi lemak. Dia bimbangkan
kesihatan Mujahid yang agak kurang sihat itu. Kerana itulah dia terus datang ke
sini.
“Sya…” Mujahid mula rasa terkilan dengan diri sendiri.
‘Apalah salahnya kalau aku menipu tadi.. Dia susah-susah datang.. siap sediakan
makanan lagi.. Siap bawakan ubat lagi..’
Aisyah berpaling ke belakang. Memandang ke arah mujahid yang
agak serba salah itu.
“Tak perlu rasa bersalah Id.. Saya yang salah.. Datang mengejut!”
“Hmm… mana saya larat nak makan semua ni sorang-sorang..
Boleh temankan saya makan?” Mendengarkan suara Mujahid yang agak serak itu,
terus Aisyah jatuh kasihan.
“Ajaklah kawan-kawan awak teman…”
“Kawan-kawan saya dah makan tadi.. Saya je yang belum.
Marilah makan sekali..” Ajak Mujahid sungguh-sungguh.
Aisyah mula mengambil tempat di sofa. Rasa terharu kembali
mengalir dalam diri. Mujahid, dia sentiasa ingin menjaga perasaan orang lain.
Macam manalah perempuan tidak mudah jatuh hati. Lelaki ini terlalu baik!
Kebaikannya inilah yang sering disalah tafsir oleh wanita.
“Saya rasa lapar sangatlah hari ni… Macam tak cukup je nasi
yang awak bawak ni.” Aisyah sendiri tidak pasti sama ada itu statment ambil
hati ataupun Mujahid benar-benar ingin memaknakan kata-katanya.
“Eh, tadi ajak orang makan sekali.. Ni buat perangai tamak
pulak!”
“Okay.. to be fair… Saya makan nasi lemak awak, awak makan
nasi lemak saya..” Mujahid, lelaki ini benar-benar pandai mencuri hati.
“Nasi lemak awak tak sedap…”
“Sebab tak sedap lah saya bagi awak..” Lawak Mujahid
selamba.
“Hampeh!”
Tergelak Mujahid melihat sifat manja Aisyah itu. Ya, manja
gadis itu bukan dibuat-buat. Tapi memang wanita itu lembut dan santun orangnya.
Berbeza sedikit dengan sikap Khadija yang agak keras sedikit.
Mujahid mula terbatuk sedikit. Dengan spontan, Aisyah mula
menuangkan ubat batuk ke dalam penutup botol lalu disuakan kepada Mujahid.
“Saya tak boleh minum lagi… Kan tengah kerja.” Dalih Mujahid
sengaja mengelat. Sebenarnya, dia memang culas untuk makan ubat!
“Jangan nak mengada lah.. sikit je pun… Kerja-kerja jugak
tapi kesihatan tetap kena jaga!” Bebel Aisyah keras.
“Ialah doktor, kejap lagi saya makan.. Bagi saya rasa nasi
lemak sotong ni dulu ya..” Pohon Mujahid sambil mengecilkan matanya sedikit.
Tanda begitu mengharap. Akhirnya Aisyah mengangguk. Beberapa suap nasi, mula
menjenggah ke dalam tekak Mujahid.
“Pernah tak orang cakap yang nasi lemak awak ni tak sedap?”
Tanya Mujahid dengan muka yang serius. Berubah air muka Aisyah dibuatnya.
“Tak sedap ke?”
“Saya tanya awak kan.. Pernah tak orang mengaku yang nasi
lemak awak ni tak sedap?” Ulang Mujahid sekali lagi.
“Errk… tak pernah..”
“Jadi orang komen sedaplah?” Tanya Mujahid lagi.
Aisyah jadi terfikir-fikir sendiri. “Tak jugak.. Biasa-biasa
je kot.. Kenapa? Teruk sangat ke rasanya?” Cuak pula Aisyah dibuatnya.
“Nasi lemak awak ni memang berhak mendapat pujian Sya.. Nasi
yang berlemak, sambal tumis sotong yang pedas. Awak dah lulus jadi bini orang
nih! Kalau tiap-tiap hari makan masakan awak, saya boleh jadi gemuk Sya..” Usik
Mujahid selamba. Berubah merah muka Aisyah dibuatnya.
“Saya tunggu kelulusan seseorang je.. Bila dia cakap okay,
saya akan pasti akan masak untuk dia tiap-tiap hari.” Tutur Aisyah perlahan.
Tanpa sedar, kata-kata itu begitu menghentak naluri lelaki milik Mujahid.
Demamnya terasa makin menjadi-jadi.
***
Mujahid meraut wajahnya berulang kali. ‘Kesepian ini hanya
aku yang merasakan bila dia tiada di sisi.. kenapa begitu yang terjadi
sedangkan aku sendiri belum pasti perasaaan milik sendiri..’
Sejak akhir-akhir ini, jiwanya gundah ditelan rasa. Pasti
ada yang terkurang dalam dirinya. Imam Al-Ghazali pernah berpesan “Carilah
hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun menbaca Al-Quran. Tetapi
jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat, jika tidak
engkau temui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati…. Jika
engkau tak temui juga, maka berdoalah kepada Allah pinta hati yg baru kerana
hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati…” Adakah aku perlu memohon
hati yang baru?
Kenapa sehingga kini dia terlalu sukar untuk membuat
keputusan? Apa lagi yang kurang dalam solatnya? Apa lagi yang kurang dalam
doanya sehingga doanya itu tidak diperkenankan oleh Allah. Mungkin ini adalah
balasan daripada Allah kerana dia sedang mempermainkan dua jiwa.. dua hati..
dua wanita yang baik di sisi agama.
Sesuatu yang baik itu pasti akan dipermudahkan oleh Allah.
‘Tapi adakah ini tanda bahawa aku tidak layak untuk memiliki keduanya?’
Tunjangkan resahmu di dada solat… Himpunkan keperitanmu
dalam gengaman doa…Tutuplah kekecewaanmu dengan taqwa.. Nilaikan cermin diri
dengan keikhlasan hati…. Biarlah dirawat kegelisahan ini dengan bertahujud
kepadaNya.. Sesungguhnya, hanya padaNya dia bersandar harapan…
***
Awal-awal lagi Aisyah sudah bangun. Hari ini, dia sudah
berjanji untuk keluar bersama Mujahid. Kata-kata Mujahid masih terngiang-ngiang
di telinganya. ‘Saya sudah ketemu jawapannya…’ Sungguh… hatinya diserang debar.
Namun di kawal rasa hatinya. Kerana belum pasti lagi jawapan itu akan berpihak
kepada dirinya.
“Okay… lepas ni kita nak buat apa?” Tanya Aisyah usai mereka
habis makan tengah hari. Sebenarnya dia gugup. Mujahid memandangnya dengan
pandangan mata yang tak mampu dia tafsirkan. Dari tadi dia menantikan jawapan
dari Mujahid. Namun hanya topik lain yang keluar dari mulut Mujahid.
“Apa sahaja yang Sya nak buat…” Tawar Mujahid ikhlas.
Bibirnya ranum dengan senyuman kacak.
“Betul?” Tanya Aisyah sungguh-sungguh. Segenap hatinya sudah
mula mengandaikan bahawa cinta ini akan menjadi miliknya.
“Betul… nak tengok wayang, nak makan aiskrim, nak makan kek…
nak membeli belah.. apa sahaja.. Saya akan teman awak.”
Mata Aisyah mula berkaca sedikit. Terharu dengan kata-kata
Mujahid itu. Terasa dirinya teramat disayangi oleh pemuda itu.
“Nak tengok cerita apa?”
“Cerita hantulah!” Cadangan Aisyah itu Mujahid sambut dengan
kerutan di dahi.
“Aik, awak bukan penakut ke nak tengok cerita hantu?” Kutuk
Mujahid selamba.
“Memanglah saya takut.. tapi awak kan ada untuk teman saya..
” Tutur Aisyah sedikit manja.
Mujahid terdiam dan tersenyum hambar sedikit.
Akhirnya, seharian itu mereka menghabiskan masa
bersama-sama. Rasanya satu Berjaya Times Square itu mereka berdua jelajah.
Beberapa keping gambar juga telah dirakam bersama. Inilah pertama kali Aisyah
begitu bahagia. Bahagia bersama seseorang yang sangat dia cintai. Mereka berdua
berpisah untuk menunaikan solat Asar.
Awal-awal lagi Mujahid telah mengarahkan agar mereka berdua
berjumpa di raungan legar di bahagian bawah. Usai solat, terus Aisyah
mendapatkan Mujahid yang sedang menunggunya.
“Jom.. saya hantarkan awak ke kereta.” Aisyah hanya
mengangguk. Walaupun terasa berat hati untuk berpisah, namun dia memang perlu
pulang. Badan ini perlukan rehat kerana hari esok telah menanti kudratnya.
“Aisyah….” Panggil Mujahid lembut. Langkah kaki mereka sudah
tiba di kawasan parking.
“Terima kasih..” Ucap Aisyah cepat-cepat.
“Untuk?”
“Sebab membahagiakan hari saya…. Sebab sudi teman saya
seharian nih.. Sungguh, saya terharu sangat!” Luah Aisyah ikhlas. Mujahid
tersenyum lagi. Tapi makin lama senyuman itu makin hambar.
“Mungkin kita sudah menjumpai bahagia… apa yang tinggal kini
adalah untuk memperolehinya pula. Namun bahagia itu umpama bulan… Ia perlukan
mentari di sebalik mega untuk menyinarkan keindahannya.. Tapi apabila mentari
terbit bersama-samanya, bulan akan hilang serinya. Mentari dan bulan tidak
boleh terbit di langit yang sama pada waktu yang sama..”
Kata-kata Mujahid itu membuatkan Aisyah mengerutkan dahinya.
Apakah maksud Mujahid yang sebenar?
Perlahan-lahan, mujahid mula menyandarkan badannya di pintu
kereta milik Aisyah. Sekilas dia berpaling ke tepi. Hatinya berdegup kencang.
Bibirnya berat untuk menyambung bicara. Tapi dia perlu melakukannya… Dia tidak
bermaksud untuk mempermainkan hati Aisyah.. Mungkin takdir indah itu bukan
milik mereka secara bersama.
“Awak dan saya… tak boleh bersama Sya..”
Bagaikan anak panah menusuk ke tangkai hati hingga
membuatkan darah terus mengalir dengan derasnya.
“Kenapa?”
“Jadi awak pilih Khadija?” Belum sempat dijawab soalan
pertama, Aisyah sudah hadir dengan soalan kedua.
“Saya sangka…awak pilih saya…” Tanpa malu, air matanya
merebes perlahan. Kecewa yang dirasa, hanya Allah yang mengetahuinya. Rasa ini
tidak seharusnya dibiarkan hadir. Keindahannya hanya seperti pemandangan di
waktu senja. Namun keindahannya tidak lama apabila malam mula melabuhkan tirai…
Ia akan berlalu pergi.. yang tinggal hanyalah kema malam. Sekelam hati dan
perasaannya tika ini.
“Aisyah…” Cukup berat untuk dia memutuskan semua ini. Semua
ini berada di luar dayanya. Hatinya ikut turut berat! Nafasnya terasa seperti
disekat! Melihat air mata Aisyah itu, terus membuatkan dirinya berasa seperti
seorang lelaki yang sangat tidak berguna.
“Baliklah Id… Tinggalkan saya sendiri..” Keras sedikit nada
suaranya. Menggambarkan rasa kecewa yang bukan sedikit.
“Saya tak akan balik selagi awak belum balik!” Putus Mujahid
muktamad.
“Kenapa? Kenapa perlu awak beli jiwa saya kalau awak tak
mampu nak membayarnya? Kenapa?”
Mujahid diam. Tidak mempunyai jawapan yang terbaik untuk
dihadiahkan buat Aisyah. “Aisyah… jangan bazirkan air mata itu untuk lelaki
yang bukan milikmu…” Nasihat Mujahid lembut.
“Awak cakap senanglah! Awak tak akan pernah tahu dan faham
perasaan saya! Sebab saya yang kena erti penantian… saya yang tanggung erti
kerinduan dan saya yang mengharungi semua ini.. Bukan awak!” Marah Aisyah. Terlupa
yang dia sedang berhadapan dengan seseorang yang amat dia cintai.
“Kenapa… kenapa awak tak buat saya bencikan awak? Kenapa
perlu awak layan saya baik-baik hari ini…” Rintih Aisyah lagi. Dan Mujahid
hanya membiarkan.
“Aisyah… Jika satu saat nanti awak ditakdirkan mencintai
lelaki lain, lelaki itu pasti akan lebih baik dari saya.. Saya tak harap agar
awak rindukan saya.. Cuma pinta saya, jangalah lupakan saya..” Makin pening
kepada Aisyah bila menangkap kata-kata Mujahid itu.
‘Ya Allah.. hidangkanlah satu sifatnya yang tercela.. Agar
dapat mengajar hati ini agar dapat membenci dirinya…’ Cinta datang dan pergi
namun yang diharapkan tidak seindah mimpi. Yang terpamer itulah yang menjadi
realiti. Sukarnya berenang di launtan cinta yang tidak bertepi… Aisyah terus
menangis..
***
Hati Khadija mula diserang celaru. Permintaan bapanya
semalam membuatkan dia hampir tersungkur menyembah bumi. “Sebelum abah tutup
mata.. abah berharap sangat yang Dija akan terima seseorang dalam hidup Dija..”
“Terima seseorang? Terima siapa? Mujahid tu tak tahu pun aku
sukakan dia.. tak kan aku nak melamar dia kot..” Mulutnya mula membebel
sendiri. Tengah hari seperti ini, memang tidak ramai yang menjenguk di kedai.
Kepala yang tidak pening itu dipicit lembut.
“Sejak bila tukar hobi ni?” Tanya Syahmi hairan.
“Errk.. Syahmi…” Khadija mula diserang gugup.
“Tukar hobi?”
“Yalah.. hobi membebel sorang-sorang..” Malu pula kerana
ditangkap sedang mengomel sendiri.
“Awak buat apa datang kedai ni?” Topik cerita mula diubah.
“Saya datang hantar makanan tengah hari dekat awak…”
“Buat susah-susah jeh…” Bekas tuperware itu Khadija sambut
dengan berat hati. Sebenarnya, dia perasan yang sikap Syahmi terlalu baik
dengannya. Dalam apa jua perkara, lelaki ini sangat berhemah dan berlembut.
Mereka mula bertukar-tukar topik perbualan. Tidak mahu
hubungan mereka kelihatan canggung. Namun tiba-tiba matanya terpandangan pada
susuk tubuh Mujahid yang sedang masuk ke dalam perut kereta. Bila masa lelaki
itu pulang ke kampung? Dan kenapa Mujahid pulang tanpa berjumpa dengan dirinya
dahulu?
Selepas Syahmi beransur keluar dari kedai, terus dicapai
telefon bimbitnya. Didail nombor telefon Mujahid itu. Sesudah salam, terus
diterjah Mujahid dengan soalan yang bertubi-tubi.
“Id, tadi ada datang kedai kan? Kenapa tak masuk? Bila
balik? Tak beritahu pun nak balik?”
Mujahid ketawa di hujung talian. Begitu banyak soalan…
“Saya balik semalam.. Sengaja tak beritahu.. Hmm, saya nak
hantar makanan tengah hari. Tapi bila tengok awak asyik berdating.. Tak jadi
saya nak bagi.” Penerangan Mujahid itu nyata membuatkan Khadija melopong.
“Lah.. dia tu anak bos saya lah…” Ujar Khadija separuh
kecewa. Kalaulah Syahmi tidak datang tadi, pasti Mujahid akan menghampirinya.
“Tapi, awak dengan dia nampak secocok…” Komen Mujahid
ikhlas. Ya, memang nampak sepadan sungguh.
“Id…” Suara Khadija mula ditekan sedikit. Tanda melarang
Mujahid meneruskan kata-kata.
“Hmm.. pak cik macam mana?” Topik perbualan, mula berubah
rentak.
“Alhamdulilah makin sihat.. Syukur sangat yang abah dah
okay.”
“Alhamdulilah.. teruslah berdoa dan berusaha pada Dia.
Selebihnya, tawakal jelah..”
“Eh, esok saya cuti.. Jom kita keluar nak? Carikan hadiah
untuk mak awak tu?” Khadija mula mencari alasan untuk keluar bersama dengan
Mujahid. Bukan tiap-tiap hari dia boleh menatap wajah lelaki yang dicintainya
itu.
“Hmm.. Saya dah belikan hadiah untuk mak saya.. Saya pilih
dengan Aisyah..” Sejurus selepas mendengar nama Aisyah, terus senyuman panjang
itu mati dengan sendiri. Terlupa pada kehadiran Aisyah yang menjadi jurang
antara mereka.
“Oh… Jadi esok nak keluar tak?” Dia bukan mahu
terhegeh-hegeh, dia Cuma mahukan kepastian sahaja. Kalau jadi, senang sedikit
dia hendak mengatur hari minggu yang cukup sibuk dengan kenduri itu.
Lama Khadija menanti balasan jawapan daripada Mujahid.
“Tak sudi ya nak keluar dengan saya?” Saat ini, Khadija
dapat merasakan yang hubungannya dengan Mujahid memang tidak akan pergi jauh.
Mungkin benar, mereka hanya ditakdirkan untuk menjadi sahabat.
“Bukan macam tuh…tapi..” Mujahid ingin mencari ayat yang
paling sesuai untuk diterangkan kepada Khadija. Dia mula sedar yang apa yang
dia lakukan tika ini adalah salah. Mengajak perempuan bukan muhrim untuk keluar
bersama pasti akan mengundang fitnah yang besar. Kerana antara lelaki dan
wanita, pasti akan ada yang ketiga. Lagipula, dia tidak mahu mencemarkan maruah
Khadija yang sering diangkat tinggi oleh orang kampung. Wanita yang terbimbing
akhlaknya.
“Tak apa.. Awak tak perlu terangkan kepada saya..” Khadija
sudah tidak berdaya lagi untuk memikir. Selepas ini, dia hendak menjauhkan rasa
hatinya yang sudah mula menjauh.
“…Dija, saya pernah tertewas… Tapi saya tak mahu terus tewas
dengan hasutan nafsu! Saya nak mempersiapkan diri untuk menjadi orang yang
baik… Saya banyak cakap pasal hal agama, tapi mungkin kurang mengamalkannya..
Mungkin sebab itu, Allah sering menangguhkan doa saya. Jadi saya fikir, waktu
sekarang adalah waktu yang perlu untuk saya berubah. Allah nak bagi hint,
seharusnya saya tak boleh kekal memperbodohkan diri sendiri lagi.”
Umar Al-khatab pernah berkata, orang yang ketawa itu kurang
wibawanya.. Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina.. Orang
yang menyintai akhirat dunia pasti menyertainya.. Barangsiapa menjaga
kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga. Jadi sudah
diputuskan, dia ingin membela maruah Khadija dan Aisyah.
Memang itulah kebenarannya. Dia tidak betah berada di takuk
yang sama. Mengulangi kesilapan yang sama. Tidak selamanya Allah akan
memberikan peluang! Jadi manusia haruslah menggunakan ruang yang telah
dihamparkan.
***
“Ilahi tempat aku berlindung dan memohon pertolongan… Lukaku
tidak akan sembuh kecuali dengan kurnia dan kasihMu… Kesulitanku tidak akan
terlerai kecuali dengan rahmatMu.. Kedukaanku tidak akan reda kecuali dengan
anugerahMu.. Kerinduaku tidak akan hilang kecuali bertemu denganMu.. Wahai
akhir harapan para pengharap, wahai puncak pencarian para perindu Sayangilah
daku yang berlidah lemah.. beramal kurang.. Lindungilah daku di bawah
naunganMu.. yang teduh dengan ketenteraman yang panjang….
Ya Allah… andai ini solat terakhirku, aku bermohon belas
ehsan dariMu.. Ampunilah segala dosaku.. Ampunilah segala kekhilafanku..
Redhalah keatasku dengan segala nikmat yang telah Kau kurniakan kepadaku.. Akan
ku serahkan segala ketentuan hidupku kepadaMu.. Biarlah masa yang akan
membicarakan segalanya.. Aku akan tetap menyintaiMu tanpa jemu.. Aku tidak akan
berpaling lagi pada yang akan mengganggu dan menggugat jiwaku.. Hanya padaMu
tempat aku bernaung dan berpaut.”
Mujahid meraut wajahnya berulang kali. Hatinya sudah kembali
tenang apabila mengadap Yang Ilahi. Dia sudah bertekad untuk menyerahkan cinta
ini hanya pada Yang Maha Esa. Dia sudah tidak peduli pada tafsiran manusia
dengan sikapnya. Apa pun mungkin akan terjadi, tapi yang pasti dia tidak akan
berganjak lagi.
***
Jika seorang datang membuat kita kecewa, maka dia adalah
guru yang hendak mengajar kita erti sabar. Jika kita rasa kita sedang
dikecewakan, itu menunjukkan kita sedang belajar untuk membina sikap tidak
terlalu mengharap. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba
mudah. Hidup tidak selalu indah, kerana di situlah keindahan hidup!
Hati Aisyah sudah kembali tenang setelah disogokkan dengan
kata-kata nasihat yang berbaur semangat. Cinta yang sebenar adalah apabila kita
mampu untuk melihat dia bahagia bersama orang lain.
“Berbahagialah Id… Saya izinkan… Saya lepaskan awak..”
Walaupun hatinya meraung dan merintih, namun dia bersyukur yang cinta Mujahid
sentiasa ingin membuatkan dia merapatkan diri dengan yang Maha Pencipta.
Apabila merintih, seakan-akan hilang segala bebanannya. Itulah kuasa Allah.
***
Khadija mula menutup Al-quran itu. Hati yang di dalam
kesakitan, dia ingin tampal dengan ketabahan sebagai pengubat diri.. Hati yang
di dalam pengkhianatan dan tohmahan, dia ingin tampal dengan kesabaran pengawal
emosi.. Hati yang di dalam ketakutan, dia ingin tampal dengan ketakwaan sebagai
pendinding diri… Hati yang di dalam keraguan, dia ingin tampal dengan
keyakinan, dia ingin tampal dengan keyakinan pertunjuk ALLAHURABBI… Hati yang
di dalam kekecewaan, dia ingin tampal dengan kepasrahan mencari redha Ilahi.
“Berbahagialah Id… saya redha kalau bukan saya orang yang
mampu untuk membahagiakan awak… Mungkin ada yang kurang dalam cinta ini. Moga
kau berbahagia bersama cinta barumu itu…” Al-quran itu dibawa rapat ke dada.
Biar laut yang bergelora ini akan tenang semula. Dibiarkan rasa sedih ini
berkampung untuk saat ini sahaja. Biar hari esok tiba tanpa rindu lagi.
***
Berita yang dia dapat daripada keluarga Mujahid itu
membuatkan Khadija tidak senang duduk. Kata Puan Halimah, Mujahid kemalangan
dan lelaki itu telah ditempatkan di wad ICU di Hospital Kuala Lumpur.
Tanpa berfikir panjang, terus Khadija memohon izin dari ibu
dan bapanya Dia terlalu ingin melawat Mujahid. Melihat dengan mata kepala sendiri
dengan kedaan Mujahid. Mujur sahaja keluarganya memang mengerti pada hubungan
mereka yang bersahabat baik.
Sesampainya dia di perkeliling, sepupunya sudah siap
menunggu untuk membawanya terus ke hospital. Kalau keadaan Mujahid baik-baik
sahaja, petang ini pun dia akan terus pulang ke Kuantan.
Namun apabila melihat wajah Umi Mujahid yang sembab itu, dia
dapat merasakan yang keadaan Mujahid sungguh teruk. Terus dipeluk Puan Halimah
seeratnya. Air mata Puan Halimah kembali merantai di pipi. Betapa rawangnya
hati seorang ibu untuk menghadapi insiden seperti ini.
“Mak cik… Mujahid macam mana?” Soalnya apabila pelukan
dirungkaikan.
“Hati dan buah pinggang Mujahid rosak teruk.. Rusuk kanannya
patah.. Yang berfungsi sekarang hanyalah jantung dia sahaja…”
Khadija menekup mulutnya. Tubir matanya mula terasa panas.
Sungguh, dia ingin menangis. Menangis untuk melahirkan ketakutannya untuk
kehilangan seorang lelaki yang amat dia cintai. Tapi untuk menangis dihadapan
Puan Halimah, itu bukan caranya. Hati tua itu pasti akan lebih rapuh.
“Boleh saya tengok dia?” Pinta Khadija penuh mengharap.
“Masuklah… Ada seorang kawan dia kat dalam tuh..” Encik
Khalid yang berada di sebelah Puan Halimah mula menunjukkan arah bilik Mujahid.
Perlahan-lahan diatur langkah ke dalam wad yang menempatkan
Mujahid. Apabila dia menolak pintu bilik, dia melihat seorang wanita yang
sedang berada di sisi Mujahid. Dan matanya mula menangkap sekujur tubuh yang
terbaring di atas katil. Keadaan Mujahid itu sungguh memilukan. Wayar
berselirat di sana sini. Badannya penuh luka-luka. Ya Allah, benarkah ini
Mujahid?
“Khadija…” Suara itu membuatkan Khadija berpaling ke arah
perempuan itu. Air matanya sudah mula menyapa birai pipi.
“Awak kenal saya?”
“Saya Aisyah…” Seketika, mereka saling berpandangan sesama
sendiri. Namun tanpa sebarang suara lagi, terus mereka berdua hilang dalam
pelukan yang bersulamkan tangis. Bagaikan ada magnet yang menarik mereka untuk
bersatu dan berpaut sesama sendiri.
“Saya tak sangka keadaan dia seteruk ini.” Luah Khadija
apabila pelukan dileraikan. Aisyah terus menarik Khadija agar mendekati badan
Mujahid.
“Id… Dija dah datang.. Awak tak mahu bukak mata lagi ke?”
Suara Aisyah terketar-ketar. Tanda menahan sendu yang menggunung. Khadija
terharu! Sungguh, dia tidak sangka Aisyah akan melayannya sebaik ini. Sangkanya
dahulu, Aisyah adalah persis watak ketiga yang penuh antagonis seperti di dalam
novel ataupun drama. Tapi wanita ini sungguh berbeza…
“Id.. saya dah datang…” Lirih suara Khadija menampan
telinganya.
“Dia boleh sembuh kan?” Pertanyaan itu dihulurkan kepada
Aisyah. Dia tahu yang Aisyah bekerja sebagai seorang doktor. Sedikit sebanyak,
pasti Aisyah mengetahui keadaan diri Mujahid.
“Aisyah….” Panggil Khadija lagi. Aisyah seolah-olah
menyembunyikan sesuatu darinya.
Perlahan-lahan, Aisyah menarik bahu milik Khadija. Dia
menjatuhkan dagunya di bahu milik Khadija. “Keadaan.. dia dah tenat Dija…”
Lambat-lambat, ayat itu keluar dari mulut Aisyah. Aisyah memeluk Khadija kejap!
Mula menghitung kekuatan yang sudah hilang ditepis badai yang menerpa dan
Khadija hanya mampu mengalirkan air mata.
***
“Ya Allah, kami menghimpun kekuatan.. kami memohon ketabahan
yang tinggi untuk meredah gelombang hidup dan dugaan mencabar… Kami mohon ya
Allah.. kau sembuhkan lah Mujahid… Berikanlah dia kesempatan untuk terus
bernyawa… Seseungguhnya, kami hanyalah insan yang memerlukanMu Ya Allah…” Tulus
doa Aisyah yang sedang mengimamkan solat maghrib mereka itu. Khadija juga ikut
turut teresak-esak. Menahan sebak!
Aisyah mula menoleh ke belakang. Pertama kali berhadapan
dengan Khadija, dia mula sedar yang dia kalah serba serbi. Gadis itu punya hati
yang luhur. Punya hati yang kental. Punya semangat yang tidak pernah mengenal
erti kalah. Siapalah dia jika hendak dibandingkan dengan gadis secantik
Khadija.
Khadija mula merapat ke arah Aisyah. Saat bertentang mata
dengan Aisyah, dia mula sedar yang gadis ini terlalu istimewa. Punya pangkat
dan kedudukan yang tinggi. Punya seraut wajah yang mampu membuatkan tidur
seseorang tidak lena. Punya akidah yang teguh. Punya sikap yang matang dan
positif. Sesungguhnya, gadis ayu ini memang berhak mendapat tempat di sisi
Mujahid.
“Terima kasih..” Ucap Khadija dalam tangisan.
“Untuk apa?” Tanya Aisyah sedikit keanehan.
“Sebab membahagiakan dia..” Ayat itu benar-benar ikhlas
keluar dari jiwa Khadija. Dia tidak akan membenci wanita yang Mujahid sayangi.
Dia sudah redha apabila Mujahid memilik Aisyah.
“Tapi dia lebih bahagia bersama awak Dija.. Awak sentiasa
terbaik di hatinya.. Sedangkan saya, tak pernah mempunyai ruang itu..”
Kata-kata Aisyah itu membuatkan Khadija mengerutkan dahinya.
“Apa yang Sya cakap ni? Sepatutnya saya yang ucapkan tahniah
kepada awak.. Sebab Id pilih awak.. bukan saya..” Kali ini giliran Aisyah pula
yang tercengang.
“Id tak pernah pilih saya…” Luah Aisyah jujur.
“Id pun tak pernah pilih saya…” Ujar Khadija dengan mata
yang berkaca.
Mereka berdua sama-sama mula menutup mulut. “Id tak pernah
memilih antara kita berdua..” Air mata kembali singgah di ruang wajah. Rupanya
selama ini mereka benar-benar tersalah sangka.
“Mungkin Id dapat rasa yang dia akan jadi begini.. Sebab tu
dia tak memilih antara kita berdua..” Mereka berdua saling berpandangan dan
mula hilang di dalam pelukan erat. Masing-masing ingin mencuri kekuatan yang
hampir pudar ditelan rasa sedih.
“Percayalah Aisyah… Saya rela beralah.. Saya rela
menyerahkan dia kepada awak.. Saya rela membenarkan dia bahagia di sisi awak..
Tapi saya takut kalau dia terus pergi dari pandangan mata saya.. Aisyah…. Saya
tak mahu kehilangan dia dalam keadaan seperti ini…” Rintih Khadija pilu.
Aisyah membantu mengelap permata jernih milik Khadija.
‘Benar kata Id… Khadija punya hati yang penuh ikhlas…’
“Saya juga tak mampu untuk kehilangan dia Dija… Tapi semua
ini berada di luar kudrat saya.. Siapa saya untuk menahan takdir Allah…” Ujar
Aisyah pula.
Khadija mula membawa kedua belah tangannya ke pipi Aisyah.
Ditepis segala air jernih itu. ‘Id kata, Aisyah ini manja orangnya.. Tapi apa
yang boleh aku tafsirkan ialah, Aisyah punya jiwa yang kuat dan kental.. Dia
kelihatan lebih matang daripada apa yang Id khabarkan..’
Tiba-tiba pintu biliknya dirempuh dari luar. Terjenggul
wajah seorang jururawat yang bertugas. “Doktor, kawan doktor dalam keadaan
kritikal!”
Khadija dan Aisyah kembali berpandangan. Kuatkah mereka
untuk menempuh takdir yang dibentangkan?
***
Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami
Kerana takdir yang Maha Esa telah menetapkan
Sedih rasanya hati ini bila mngenangkan
Kau sahabatku kau teman sejati
Tulus ikhlasmu luhur budimu bagai tiada pengganti
Senyum tawamu juga katamu menghiburkan kami
Memori indah kita bersama terus bersemadi
Kau sahabatku kau teman sejati
Sudah ditakdirkan kau pergi dulu
Di saat kau masih diperlukan
Tuhan lebih menyayangi dirimu
Ku pasrah diatas kehendak yang Esa
Ya Allah,tempatkannya di tempat yang mulia
Tempat yang kau janjikan nikmat untuk hamba Mu
Sahabatku akan ku teruskan perjuangan ini
Walau ku tahu kau tiada di sisi
Wahai yang bergelar wanita, dirimu telah dianugerahi dan
dirimu juga telah diuji maka segala yang datang dan pergi itu meskipun boleh
kita tangisi tetapi hidup ini tidak akan terhenti pada detik hati kita kecewa
meratapi. Hidup ini tidak akan terhenti walau kita kehilangan orang kita
sayangi. Makan teladanilah semuanya dengan rela hati. Pasti kita akan merasai
betapa di sebalik semua ini, terselit kasih dan rahmat Ilahi. Hanya kita yang
perlu mesyukuri.. Barulah kita mampu merasainya.
Tangan Aisyah mencari tangan milik Khadija. Digengam erat
jari jemari itu. Biar sama-sama mengumpul kekuatan. Tiada lagi air mata yang
menyinari bola mata mereka.. Kerana antara mereka berdua, mereka sebenarnya
tidak pernah dipilih apatah lagi hendak memilih.
“Dija… Aisyah…” Panggil Puan Halimah lembut. Memanggil
sahabat anaknya yang ikut turut mengiringi pemergian Arwah. Cerek air itu mula
bertukar tangan. ‘Bersemadilah dikau dengan tenang wahai anakku… Umi akan
mendoakan kebahagiaanmu di alam sana..’ Air mata yang mengalir, diseka dengan
hujung baju.
“Aisyah… mari kita siram sama-sama.” Ajak Khadija sambil
diiringi sejuring senyuman di bibir. Tangan Aisyah dan Khadija mula bersatu.
Bersatu tika menjiruskan air ke tanah kubur. Di sini rupanya perlabuhan kasih
yang perlu mereka curahnya..
Tak siapa menyangka, tak siapa menduga yang begini
pengakhirannya. Mujahid pergi menyambut panggilan Ilahi. Meniggalkan semua ahli
keluargannya.. Meninggalkan semua sahabat handalnya.. Meninggalkan semua harta
bendanya… Meninggalkan rasa cinta di hati Aisyah dan Khadija tapi dalam masa
yang sama, menyatukan kasih dua orang wanita untuk kembali menyambung
silaturahim.
“Kita tak berhak menangisi sesuatu yang bukan milik kita…”
Itulah ayat pertama yang keluar dari mulut Aisyah ketika menyambut pemergian
Mujahid semalam. Entah dari mana dia mendapat semangat ini? Dia sendiri tidak
dapat mengenal pastinya. Tapi apa yang pasti, kemunculan Khadija di sisinya
seperti dapat membangkitkan aura baru. Menyegarkan perasaannya yang selama ini
gundah gulana.
“Kalau saya nak menangis untuk kali yang terakhir boleh
tak?” Pinta Khadija jujur. Entah kemana hilangnya sikap tabah dan sabar yang
selama ini sering dipuji oleh Mujahid. Kehilangan Mujahid bagaikan menghapuskan
segalanya. Mungkin dahulu, dia terlalu ingin kelihatan sempurna di hadapan
Mujahid. Sehingga terlupa bahawa dia hanyalah manusia biasa. Mujurlah ada
Aisyah.. Sungguh, gadis ini sangat luar biasa orangnya. Menenangkan jiwanya
yang bercelaru.
“Menangislah di bahu saya ni…” Tawar Aisyah sambil menepuk
sedikit bahu miliknya. Tanpa sedar, tangisan juga sedang membasahi pipinya.
“Dija, Aisyah…” Panggil Puan Halimah perlahan.
“Terima kasih sebab banyak tolong Umi..” Kata-kata Puan
Halimah terkandung jutaan rasa sebak. Khadija dan Aisyah mula menghampiri Puan
Halimah. Umi Mujahid itu berhak untuk bersedih di atas kehilangan anaknya yang
tersayang.
“Jangan cakap macam tu Umi.. Kami dan anggap umi macam umi
kami sendiri.. Kalau ada apa-apa masalah, jangan segan-segan mintak tolong
dengan kami..” Digosok perlahan bahu Puan Halimah. Menghalau resah yang
berkunjung tiba.
“Betul tu umi… Saya dengan Dija akan sentiasa ada untuk
umi.. Jangan menangisi pemergian Mujahid.. Sebab dia sedang mendapat tempat
yang lebih baik di alam sana..” Tangan kanan Puan Halimah diraih. Aisyah
melemparkan senyum. Puan Halimah terus memeluk keduanya wanita itu. Dia hilang
seorang anak lelaki, tapi Allah menghadiahkan dua orang wanita yang sungguh
mulia pekertinya.
***
Kembalikan wahai hatiku… kembalilah kepada fitrahmu.. yang
suci lagi murni.. kembali lah ke singgahsana Iman yang hakiki.. Jangan kau
katakan kau cintai Tuhan kiranya engkau terlalu mendamba akan bersatu dalam
bahagia dengan makhluknya. Bukalah lembaran fitrahmu yang Allah tetapkan dari
azali betapa tidak akan berdiri engkau tanpaNya.. Tidak akan mulia engkau tanpa
kiranya masih mahu berdiam diri di sisi mahkluk dengan harapan ingin bahagia
disampingnya.. kerana memang telah ditentukan, memang tiada kebahagiaan yang
hakiki selain kebahagian mencintaiNya yang tidak pernah lupa memberi, juga
tidak pernah lupa untuk melindungi.
Kita harus sedar betapa manisnya ujian kekecewaan ini.. Jika
tidak diuji, mungkin kita tidak akan merayu kepada Allah kerana apabila sudah
bahagia, mana mungkin kita perlu mengadu kepada Allah.. Betapa manisnya saat
hati benar-benar mahu bersama Allah. Betapa manisnya apabila hati benar-benar
mengharapkanNya.. Ketenangan yang tidak dapat dibayar meski mendapat kasih
manusia yang melimpah..
Air mata Aisyah bergenang di kelopak mata apabila membaca
buku motivasi bertajuk Antara Dua Kasih karangan Nurul Khadija yang begitu
menusuk kalbu. Siapa sangka, akhirnya cita-cita Khadija untuk menjadi penulis
telah pun berjaya. Berkat usaha dan doa, setiap yang diimpikan oleh manusia itu
pasti akan dimakbulkan Allah.
Dengan pantas, Aisyah terus mencapai telefon bimbitnya. Nombor
Khadija segera dicari. Sejak hampir lima tahun lalu, hubungan yang terjalin
tidak pernah terputus. Malah makin mekar mewangi dari sehari ke sehari. Kasih
sayang itu tumbuh dan bercambah dengan harumnya. Tanpa dinodai dendam, sengketa
ataupun iri hati.
“Dija…. saya dah baca buku awak tuh.. Sangat-sangat
menyentuh hati. Good job sayang…” Jerit Aisyah setelah talian bersambung.
“Assalamualaikum Aisyah…” Perli Khadija sengaja. Bibirnya
mengukirkan tawa. Kelakar dengan sikap Aisyah yang melulu itu. Mungkin terlalu
teruja untuk menggambarkan rasa hatinya.
“Waalaikumusalam Dija… hehehe…” Aisyah mula mengawal tawa.
“So how? Buku tu okay tak?”
“Sangat-sangat okay Dija…. satu perkataan yang menggambarkan
keseluruhan buku ini ialah Awesome! Saya pasti yang buku ni akan laris di
pasaran…” Puji Aisyah ikhlas. Dia puji, bukan kerana Khadija adalah sahabatnya,
tetapi Khadija berhak mendapatkan pujian di atas setiap titis keringatnya dalam
menyiapkan buku ini. Bukan mudah buat wanita itu bertatih untuk ke menara gading
ketika orang yang sebaya dengannya sudah pun melakarkan kerjaya. Tapi itulah,
semangat Khadija tak pernah merundum. Malah sentiasa terbakar dari sehari ke
sehari.
“Haha… janganlah puji sangat Sya.. kembang setaman dah saya
ni.. Baby pun dah menendang-nendang ni…”
“Baby? Means awak mengandung Dija?” Bertambah pula rasa
teruja Aisyah.
“Yup sayang… saya dah mengandung dua bulan!” Sudah hampir
setahun dia mendirikan rumahtangga bersama seseorang yang teramat menyintainya.
Sering menjadi penguat semangatnya. Penawarkan keresahannya. Siapa lagi kalau
bukan…. Mohamad Syahmi bin Daud. Anak taukey tempat dia bekerja dahulu.
Alhamdulilah.. selepas kehilangan Mujahid, Allah tidak
menutup pintu hatinya itu. Malah dilebarkan lagi sayap cinta di dalam jiwanya.
Kebiasaannya memang begitu.. Yang baik pasti akan mendahului yang terbaik.
Hidup ini lebih kepada perkara yang tidak diduga. Jangan pernah merasa sangsi
padaNya. Jika kita kehilangan seseorang yang baik, Allah akan menghadiah yang
lebih baik pada waktu yang telah ditetapkan olehNya.
“So, bila due?” Tanya Aisyah teruja. Turut menumpang
kebahagian Khadija.
“Hmm… doktor cakap, due on October..”
“Alamak!” Aisyah mula menepuk dahi.
“Kenapa?”
“Saya kena awalkan majlis lah.. Sebab kalau on October,
risau kalau awak berperang nak bersalin pulak..”
“Majlis? Majlis apa nih? Jangan cakap yang awak nak….”
Khaidja menghentikan kata-katanya. Mulutnya melopong besar.
“Saya nak kahwin Dija…” Sambung Aisyah tanpa sempat ditahan.
Gembira kerana dapat berkongsi berita ini dengan sahabat baiknya. Malah, sudah
dianggap seperti saudaranya sendiri.
Menjerit Khadija di corong telefon. Hilang terus perangai
isteri orang itu. “Serius?”
“Seriuslah… Mana boleh kahwin olok-olok..” Gurau Aisyah
pula.
“Alhamdulilah.. akhirnya masa awak tiba jugak. So, siapa
orang yang bertuah tu?” Khadija bersyukur kerana Allah telah mendengar doanya.
Dia terlalu berharap agar Aisyah diberikan kebahagiaan seperti dirinya juga.
“Hmm.. doktor jugak…” Jelas Aisyah malu-malu. Sebenarnya,
memang sudah lama lelaki itu menantikan dirinya. Cuma dialah yang masih
berdalih. Masih belum bersedia untuk menerima kehadiran lelaki lain. Tapi
akhirnya, telah diserahkan semuanya kepada Allah. Selepas dia melakukan
istiharah, hatinya makin terpaut dan terpikat dengan Hafiz.
“Pelik lah doktor nih… Pergi kerja sebab sibuk merawat
pesakit ke atau sibuk bercinta?” Usik Khadija sengaja.
“Nak buat macam mana, dekat hospital je ada peluang nak
bercinta..” Mereka berdua mula ketawa besar. Berkongsi berita gembira
bersama-sama.
“Eh, handsome tak mamat tuh?” Selongkar Khadija selamba.
“Hmm.. bolehlah.. tapi tak lah sekacak Mu..jahid…” Tanpa
sedar, nama lelaki itu meluncur lambat-lambat dari mulutnya. Mereka sama-sama
terdiam. Mula menyelongkar kenangan silam yang hampir pupus dalam ingatan.
“Mujahid memang kacak… Mujahid memang pandai.. Mujahid
memang terbaik.. Tapi dia bukan milik kita dan bukan suami kita. Letakkan cinta
kita di tempat duduk yang sebenar atas satu gelaran yang bergelar suami… Saya
akui, saya dengan Abang pun bermula dengan kosong… Tapi percayalah, selagi kita
merelakan kedatangan cinta itu, cinta itu akan hadir dengan sendirinya..”
Nasihat Khadija itu, Aisyah tanam di pelusuk hatinya. Dia sudah bersedia. Untuk
menerima seseorang yang telah ditakdirkan Allah buatnya.
“Lepas ni awak boleh tulis novel cinta pulak Dija…” Usik
Aisyah sambil ketawa.
“Awak pun boleh jadi doktor cinta pulak..” Balas Khaidja
sambil ketawa senang.
Antara dua kasih bukan tentang antara dua orang gadis..
bukan antara dua pilihan… Tapi antara cinta Ilahi dan cinta sesama insan. Cinta
sesama manusia itu umpama ombak yang sentiasa merubah pantai. Dimana apabila
rasa kasih itu mula retak, rasa kasih dan sayang pun akan menyisih. Manakala
kasih Ilahi tiada bersempadan. Tak mengira siapa, tidak berakhir malah akan
kekal selamanya.
Di antara dua kasih, di makamnya yang berbeza.. Kasih sesama
insan itu mudah untuk dijumpai namun iainya terlalu sukar untuk diperlihara.
Namun kasih Ilahi lahir dari ketulusan jiwa yang bersuluhkan keimanan. Apa
sahaja yang berlaku dalam hidup adalah ujian dan ujian itu hakikatnya adalah
didikan dan tanda kasih Allah buat hambanya.
p/s :: kisah ini benar-benar berlaku.. kisah tentang dua
orang gadis yang tidak mengenali antara satu sama lain tetapi telah menyintai
seorang lelaki yang sama.. Walaupun lelaki itu telah tiada, namun hubungan
antara dua orang wanita itu masih erat terjalin… Malah makin lama makin
bercambah sayangnya. mencantumkan rasa cinta yang terpisah di dalam
persahabatan….harap terhibur… maaf atas segala kekurangan… yang baik itu datang
dari ALLAH, yang kurang itu adalah dari kelemahan diri sendiri… lebiu u all
much more….
Coment from fye: cite ny best sgt2 menyentuh perasaan ak bile membacanye.. susah nk memilih bile ada 2 pilihan.. kedua2nye baik dan amat menyenangkan..tp nk buat cm ne kene memilih jgk diantara sala sorang..walapun akan menguris perasaan yg seorang lg... papepon idup ada pilihan tp kenelah pilihan yg kite pilih uh tepat.. jgn lah jd cm yg dikejar xdpt yg dikendong berkeciciran...take note k..
No comments :
Post a Comment